Aishwarya 'makan hati' sikap Abhishek, mertua dan kakak ipar

Aishwarya 'makan hati' sikap Abhishek, mertua dan kakak ipar



KUALA LUMPUR: Perkahwinan pasangan ternama Bollywood, Aishwarya Rai dan Abhishek Bachchan lebih dua dekad lalu dianggap 'Wedding Of The Year' kerana berlangsung dalam suasana penuh gilang gemilang dan bersalut kemewahan.


Meskipun cinta mereka bukan hasil pandangan pertama kerana perasaan itu hadir selepas bergandingan dalam filem Dhoom 2 pada 2005, namun jodoh akhirnya menyatukan mereka.


Pasangan suami isteri itu melangsungkan pernikahan dalam rumah agam bapa Abhishek yang juga bintang legenda, Amitabh Bachchan di Mumbai, India pada 20 April 2007.


Hasil perkongsian hidup, Aishwarya dan Abhishek dikurniakan cahaya mata perempuan, Aaradhya Bachchan yang kini berusia 13 tahun.




Selepas berumah tangga, Aishwarya dan Abhishek kerap digandingkan bersama di layar perak disebabkan populariti mereka, selain wajah kacak dan jelita yang dimiliki.


Bukan sahaja dilabel pasangan romantis, bahkan bekas Miss World 1994 itu juga dikatakan cukup rapat dengan keluarga mentuanya, Amitabh dan Jaya Bachchan.


Bagaimanapun, kemasyhuran dimiliki itu cukup mahal harganya. Ke mana sahaja mereka pergi, gerak-geri sentiasa diperhatikan.


Malah, Aishwarya dan Abhishek juga sering menjadi bahan perdebatan dalam media sosial terutama perkara berkaitan dengan rumah tangga.


Bukan sekali dua gosip mengenai pergolakan rumah tangga bertebaran, malah sepanjang berkahwin berita itu ibarat asam garam dalam kehidupan mereka.


Pun begitu, terbaharu timbul pelbagai spekulasi nakal berunsur provokasi bertiup angin membawa perkhabaran mahligai yang dibina atas dasar cinta itu kini bagaikan retak menanti belah.




Spekulasi itu timbul selepas Aishwarya dan Abhishek berasingan ke majlis resepsi Anant Ambani dan Radhika Merchant di Mumbai, baru-baru ini.


Aishwarya muncul lebih awal dan ditemani anaknya, manakala Abhishek datang bersama ibu bapanya.


Di sisi lain, keluarga Bachchan bergambar untuk foto keluarga, termasuk Abhishek, Shweta, Jaya, Amitabh, Nikhil Nanda, Navya, dan Agastya.


Ia kelihatan luar biasa kerana hanya Aishwarya dan anaknya, Aaradhya Bachchan yang tidak ada dalam gambar itu.


Sudah pasti situasi sedemikian agak canggung, sekali gus meyakinkan khalayak bahawa Aishwarya dan Abhishek tidak lagi tinggal sebumbung.


Mengukuhkan lagi spekulasi apabila tindakan Abhishek meninggalkan tanda 'suka' dalam hantaran penulis, Heena Khandelwal yang berkongsi mengenai perceraian seolah-olah gosip bertebaran itu ada kebenaran.


Agensi melaporkan, hantaran itu menampilkan kulit artikel atau buku yang menjelaskan secara terperinci mengenai perceraian dari segenap aspek termasuk membincangkan kesukaran perpisahan dan bagaimana pasangan yang sudah bersama bertahun-tahun mengatasi perpisahan.


Di sebalik senyuman sentiasa menghiasi bibir aktres jelita itu, siapa sangka Aishwarya sebenarnya 'makan hati' bukan sahaja dengan sikap Abhishek, malah ibu mentua dan kakak iparnya, Shweta Bachchan.




Selain Abhishek dilihat kerap menunjukkan wajah 'mencuka' ketika bersamanya, difahamkan Aishwarya dan anaknya kini tinggal berasingan disebabkan isu dalaman dengan keluarga mentua.


Krisis itu didakwa turut menjadi salah satu punca keretakan rumah tangga pasangan itu.


Sebelum ini, hubungan mereka didakwa goyah selepas Abhishek membuatkan bintang filem Mohabbatein dan Devdas itu kebingungan ditinggalkan di karpet merah dalam sebuah acara besar.


Terdahulu, perkahwinan mewah Aishwarya dan Abhishek berlangsung selama beberapa hari dan meriah menerusi penganjuran acara pertunjukan muzik dan tarian.


Pada awal pernikahan, sudah timbul beberapa spekulasi mengenai krisis keluarga antara pasangan ini, namun keluarga Bachchan menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sekadar khabar angin. 


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments