Amir Jahari mengalami kemurungan melampau, hampir tiga kali nak terjun jambatan

Amir Jahari mengalami kemurungan melampau, hampir tiga kali nak terjun jambatan


KUALA LUMPUR: Penyanyi Amir Jahari, 32, menyeru anak muda supaya segera mendapatkan nasihat pakar kesihatan mental termasuk ahli keluarga sekiranya timbul rasa janggal dalam diri yang mendorong kepada perilaku tidak wajar.


Sebagai individu pernah berdepan masalah kemurungan sehingga terdetik menamatkan riwayat, Amir menegaskan, jawapan kepada masalah mental yang dialami tidak dapat ditemui menerusi media sosial.



"Kalau ada anak-anak di luar sana yang rasa, 'kenapa aku begini' atau rasa pelik dengan diri sendiri, hubungi organisasi berkenaan. Minta keluarga atau rakan teman dapatkan nasihat pakar.


"Anda takkan dapat jawapan daripada TikTok atau media sosial. Benda ini hanya akan dapat dengan berjumpa pakar psikiatri kerana mereka yang faham psikologi. Jadi, mereka tahu bagaimana untuk kawal diri," katanya ditemui pada sidang media pelancaran album terbaharunya berjudul Kembali di sebuah restoran di Petaling Jaya, semalam.


Amir diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-38 menerusi lagu Hasrat berpendapat, masalah kesihatan mental juga menjadi antara penyumbang kepada masalah remaja yang menghilangkan diri daripada rumah dan menjauhi keluarga.


"Apabila ibu bapa tak tahu bagaimana menjadi ibu bapa, mereka tak tahu bagaimana hendak berborak dengan anak, itu jadinya anak pergi cari orang lain selain mereka.


"Isu ini saya sedar banyak terjadi kerana media sosial juga sebenarnya. Apabila anak membesar, mereka perlukan perhatian sejak kecil. Tapi, mereka hanya suruh belajar, belajar dan belajar. Mental jadi lemah.


"Semasa berusia 17 tahun ke atas, barulah mereka mula menunjukkan masalah kesihatan mental. Sebelum usia itu, mereka belum tunjukkan lagi sebab belum faham," katanya.


Terdahulu, Amir mendedahkan bahawa dirinya pernah terdetik untuk menamatkan riwayat dengan terjun daripada jambatan sebanyak tiga kali pada 2018 akibat masalah kemurungan dialami.


Penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu bagaimanapun bersyukur kerana dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa selepas mendapatkan pertolongan daripada orang sekeliling termasuk berjumpa pakar psikiatri dan mengambil ubat.


Dalam perkembangan lain, Amir muncul dengan album ketiga berjudul Kembali yang memuatkan 15 lagu terdiri daripada 12 lagu baharu dan tiga lagu rakaman semula, antaranya Hasrat yang menjuarai AJL 38.



Selain Hasrat versi AJL 38, single lain dimuatkan dalam album Kembali adalah Kenangan, Belasungkawa, Aku Rindu, Ingin Pulang, Sampai Ke Bulan, Yang Satu, Percayalah Padaku, Dongak, Baginda, Cin-Ta, Terima Kasih, Aku Jalan Dulu, Hasrat 2023 (versi asal) dan Tanpamu Re-Imagine (feat Nana Sheme).


Album Kembali adalah kerjasama antara Sekalo Music dan Sony Music Entertainment yang sudah boleh didengari di semua platform penstriman bermula 16 Ogos lalu.


Kredit: Berita Harian



Post a Comment

0 Comments