Azizulhasni mungkin tak jadi bersara?


Sepang: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memohon ruang diberikan kepadanya berbincang bersama ahli keluarga bagi menimbangkan semula keputusannya untuk bersara.


Jelas Azizulhasni, beliau menerima permintaan daripada beberapa pihak termasuk rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sharom dan ketua jurulatih berbasikal trek kebangsaan, John Beasley, yang memintanya agak meneruskan karier.


"Beberapa hari selepas perlumbaan, Shah, John dan pasukan saya memang berharap kalau boleh mempertimbangkan semula sehingga ke Los Angeles 2028. Tapi bagi saya, saya perlukan masa untuk duduk bersama keluarga, kosongkan fikiran saya daripada apa yang berlaku.



"Apa yang berlaku ini, di luar kebiasaan dalam karier saya tetapi bagi saya, mereka tahu, kalau saya berhenti pun saya masih akan aktif dengan sukan terutama berbasikal.


"Akan terus berkayuh tetapi paling penting, kalau mereka perlukan bantuan saya, kalau Shah perlukan rakan sepelatih, bantu dia atau ada pelumba muda mahukan rakan sepelatih, saya boleh pertimbangkan.


"Namun buat masa sekarang, saya rasa saya perlukan masa kerana untuk kali ini, sangat mencabar. Bukan sahaja fizikal, latihan keras saya sudah biasa tetapi mental, saya ada keluarga, anak yang sedang membesar dan sentiasa bertanya kepada saya.


"Dua tahun lalu, bila tahu masalah jantung itu, memang keluarga sudah meminta saya berhenti sebenarnya dan tak ada lagi nak capai tapi saya kata, saya berjanji bagi saya satu lagi Olimpik. Olimpik terakhir. Itu saya janji pada keluarga, ibu saya, isteri, anak..hanya mahu lakukan untuk negara, saya terkilan tetapi masih perlukan masa," katanya.


Pelumba berusia 36 tahun itu berkata demikian dalam nada sebak sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang (KLIA) dari Paris, hari ini.


Jelas Azizulhasni, beliau mengakui masih tidak dapat menerima kegagalan meraih pingat emas selepas tersingkir seawal pusingan pertama acara keirin kerana kesalahan mendahului pacer pada Sukan Olimpik Paris 2024.


"Saya masih tak boleh terima sepenuhnya apa yang berlaku kerana kebiasaannya kalau saya kalah dalam perlumbaan, saya masih boleh ekspresikan lagi kekuatan dalam perlumbaan saya... itu saya boleh terima.




"Tapi ini (di Paris 2024), saya tak dapat buat apa-apa, saya memang tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan itu. Kalau kita sebagai atlet ini, kita makan, tidur kita, kita hidup untuk sukan, untuk negara.


"Bahkan saya sendiri pun, saya letakkan keluarga saya nombor dua... apa-apa memang sukan dulu, saya cuti pun saya masih lagi berlatih. Saya fikir untuk Olimpik," katanya.

Post a Comment

0 Comments