Bekas kakak ipar Ira Kazar mohon maaf di luar mahkamah sebab fitnah Puteri Sarah

Bekas kakak ipar Ira Kazar mohon maaf di luar mahkamah sebab fitnah Puteri Sarah




KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah difailkan Puteri Sarah Liyana terhadap bekas



menantu aktor veteran, Kazar Saisi, iaitu Wiwi Darvinda Mazwena Mazlan diselesaikan secara baik di luar mahkamah di sini, hari ini.


Wiwi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sarah dan kesal dengan tohmahan dilemparkan kepada pihak plaintif.


Peguam mewakili Puteri Sarah atau nama penuh, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 39, iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir berkata, perbicaraan kes tidak diteruskan selepas ada perbincangan antara anak guam bersama defendan.


"Perbincangan mengenai permohonan maaf ini sudah bermula beberapa bulan lalu. Pada asasnya, kita terima permohonan mereka untuk selesai cara baik sebab defendan sudah insaf dan kesal serta menarik balik enam fitnah yang dikeluarkan.




"Saya ada berbincang dengan Puteri Sarah mengenai permohonan maaf mereka itu.


"Defendan sudah menyesal, mahu tarik balik fitnah yang dinyatakan dan bayar sedikit ganti rugi. Atas nasihat saya, Puteri Sarah setuju untuk terima permohonan maaf dan mahu 'move on'", katanya ditemui pemberita sebaik berakhirnya rundingan penyelesaian kedua-dua pihak di luar mahkamah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.



Pada penyelesaian kes saman itu, Wiwi diperintahkan membayar ganti rugi RM5,000 merangkumi kos guaman.


Akberdin berkata, pihak defendan dan plaintif bersetuju untuk tidak memuat naik, menyiar atau berkongsi maklumat mengenai antara satu sama lain dalam mana-mana platform media sosial.


Wiwi juga perlu buat permohonan maaf secara terbuka di Instagram (IG) untuk tatapan umum selama tujuh hari, bermula hari ini.


"Dalam draf permohonan maaf itu, Wiwi perlu menyatakan fitnah yang dilemparkan itu tidak berlaku dan ia adalah kesilapannya," katanya.


Pada September tahun lalu, Puteri Sarah melalui IG memuat naik penyata tuntutan kerana memfitnah termasuk injuksi terhadap Wiwi Darvinda.


Penyata tuntutan itu dibuat menerusi Akberdin 30 Ogos tahun lalu.


Kandungan penyata tuntutan itu memaklumkan Wiwi pada 24 Ogos tahun lalu membuat kenyataan tidak wajar membabitkan dirinya di IG.


Kredit: Berita Harian





Post a Comment

0 Comments