TANJUNG MALIM – Hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan berlakunya kejadian jalan runtuh di Jalan Slim River – Behrang Ulu, Slim River di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, bencana itu melibatkan jalan sepanjang empat meter yang menyebabkan akses penduduk sekitar terjejas.
“Kejadian dipercayai berlaku pada pukul 8 malam tadi yang menyebabkan laluan ditutup demi keselamatan orang awam,” katanya di sini hari ini.
Pihak polis dan bomba bergegas ke lokasi kejadian bagi keadaan semasa.
Difahamkan setakat ini, tiada laporan kemalangan atau kehilangan jiwa dilaporkan.
109 terperangkap akibat kepala air, empangan pecah di Slim River
Dalam insiden berasingan, seramai 109 orang terperangkap dalam kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River di sini ekoran hujan lebat sejak petang tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, maklumat kejadian itu diterima pada jam 6.45 petang yang melibatkan Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Slim dan Eco Park Risda, Ulu Slim.
“Insiden kepala air berlaku di Kampung Sungai Bill disusuli tempat rawatan air di Empangan Kampung Pasir Ulu Slim pecah berhampiran Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim.
“Kejadian ini telah mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan iaitu Jambatan Utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong dekat Sungai Bil,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, bencana itu menyebabkan ramai penduduk terputus hubungan yang mana setakat ini, 50 penduduk terperangkap di Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite (15), Kampung Pasir (25) dan Eco Park Risda (19), namun tidak melibatkan kejadian individu hilang.
“Operasi membawa keluar mangsa yang terperangkap sedang dijalankan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Rela,” katanya.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments