KUALA LUMPUR: Pelakon Iqram Dinzly mempertahankan tindakan menyokong Shuk Sahar biarpun isteri pelawak sensasi itu, Fara Salleh dilapor memintanya agar tidak masuk campur dalam urusan rumah tangga mereka.
Iqram mendakwa perbuatan Fara yang didakwa mencaci dan membuka aib suami menepati ciri-ciri wanita akhir zaman dan perlu segera dihentikan.
"Saya bukan hendak memanjangkan isu ini atau masuk campur hal rumah tangga mereka. Saya cuma hendak nasihatkan dia supaya tidak buka aib suami.
"Perbuatan itu umpama lempar batu sembunyi tangan dan ini tidak bagus. Shuk tidak pernah dedah apa-apapun.
"Jangan jadi seperti wanita akhir zaman yang nak buka aib suami sampai ke tahap secela-celanya... Itu tidak baik.
"Jagalah adab seperti zaman nenek moyang kita dahulu," katanya ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu Avenys di ibu negara, baru-baru ini.
Sebagai sahabat, Iqram melihat Shuk sangat bertanggungjawab dan bekerja keras untuk menjadi ketua keluarga yang baik.
"Saya kenal Shuk sudah lama dan persahabatan kami rapat apabila sama-sama berniaga di ekspo di Singapura... Dia suka tolong kawan-kawan.
"Saya lihat sendiri bagaimana Shuk berusaha keras, membanting tulang dengan berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura demi mencari rezeki.
"Apabila dia (Fara) keluarkan kenyataan burukkan suami sendiri, terdetik dalam hati saya, tidak akan tiada langsung kebaikan Shuk selama ini.
"Sekarang, saya lihat sudah menjadi 'trend' dalam media sosial isteri burukkan suami. Budaya itu tidak sihat sebenarnya," kata pelakon drama rantaian Budak Tebing 4 ini.
Ditanya adakah dia menganggap kemelut melanda umpama kifarah dalam rumah tangga pasangan berkenaan, Iqram berkata, dia tidak layak untuk menghakimi sesiapa.
"Kalau tengok ruang komen, risau juga dengan apa yang ditulis netizen. Jodoh dan ajal, semuanya ketentuan Tuhan. Tidak bolehlah hendak kata itu kifarah atau karma.
"Anggap sahaja itu ujian dalam rumah tangga mereka. Tidak kiralah sama ada dia 'penyondol' atau 'disondol', pasti akan lalui ujian.
"Jadi, kita doakanlah yang baik. Saya tidak berniat hendak runtuhkan masjid mereka. Cukuplah dengan rumah tangga yang pernah roboh sebelum ini. Janganlah kita tambah statistik yang ada," katanya.
Kontroversi tercetus apabila Fara memuat naik status berbunyi 'Menyesal kahwin is so real' hingga mencetuskan spekulasi dalam kalangan netizen mengenai situasi terkini hubungan pasangan suami isteri itu.
Simpati dengan nasib yang menimpa sahabatnya, melalui hantaran Instagram (IG), Iqram atau nama sebenar, Mohammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 43, meminta orang ramai tidak mudah percaya bulat-bulat kenyataan Fara yang didakwa mencurigakan.
Fara dilapor memberi peringatan kepada Iqram agar berhenti daripada mencampuri urusan rumah tangga mereka.
Kredit: Berita Harian
0 Comments