Diana Danielle diugut rogol oleh 'haters'

Diana Danielle diugut rogol oleh 'haters'




KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi jelita, Diana Danielle hanya mendengar cerita dan melihat rakan seperjuangan 'menjeruk rasa' dan 'menderita' apabila menjadi mangsa buli siber.


Perasaan bimbang dan gerun bersilih ganti apabila ada antara rakan selebriti hampir kehilangan nyawa selepas ugutan dalam media sosial menjadi realiti di alam nyata.


Apabila perkara sama menimpa diri selepas menerima ancaman rogol dalam media sosial, pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu enggan berdiam diri.


Tegas Diana, tindakan sewajarnya perlu diambil supaya tidak ada pihak menormalisasikan perbuatan terkutuk kerana padah buli siber jauh lebih bahaya dan mampu membawa maut.


"Buli siber adalah satu jenayah dan ia tidak boleh dipandang remeh. Selepas terima ugutan rogol daripada individu terbabit, saya terus membuat hantaran di Instagram Story (IGs).


"Saya mahu individu berkenaan mohon maaf dan mahu masyarakat sedar perkara berkaitan ancaman tidak boleh dibuat main-main.


"Walaupun individu berkenaan sudah memohon maaf dan menjelaskan apa yang ditulisnya bukan dengan niat dan sekadar gurauan, namun, atas tujuan keselamatan, saya tetap buat laporan polis.




"Cuma, saya belum berkesempatan berbuat demikian. Bukanlah sengaja nak melengah-lengahkan proses ini, tetapi saya sibuk di lokasi penggambaran ketika ini.


"Kena tunggu saya selesai kerja barulah laporan polis akan dibuat. Lagipun, saya buat laporan polis bukan mahu ambil tindakan ke atas individu berkenaan, tetapi mahu wujudkan kesedaran mengenai keburukan buli siber dan atas sebab keselamatan," katanya kepada BH Online.


Menjadikan kes berlaku ke atas pelakon Kamal Adli yang diserang hingga cedera parah, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 32, itu turut berharap tindakannya itu dapat membuka mata banyak pihak supaya melakukan perkara sama apabila berdepan serangan peribadi dalam media sosial.


"Saya tak boleh nak muat andaian sendiri seperti menganggap ugutan sebagai suatu gurauan. Ini kerana selain tidak mengenali mereka, saya juga tidak tahu tahap mana kestabilan mental individu yang membuat ugutan.


"Ingat tak kes Kamal yang cedera, tahun lalu. Sebelum itu, dia pernah beberapa kali menerima ugutan sebelum insiden serangan berlaku.


"Ada sesetengah netizen hilang kewarasan dan pertimbangan dalam media sosial. Kalau saya buka mesej peribadi di IG, entah berapa banyak foto dan mesej lucah dihantar oleh individu tak dikenali.


"Orang sekarang bukan kira status isteri orang atau tidak. Selagi ada nafsu, selagi itulah mereka akan buat perkara keji itu.


"Disebabkan itu, saya akan terus buat laporan polis walaupun ada 1,000 orang yang mengugut saya.


"Saya mahu kegigihan saya ini membuka mata pihak yang bertanggungjawab dan pembuat dasar bagi mengekang buli siber jadi lebih berleluasa," ungkap pelakon filem Imaginur ini.


Ditanya adakah akan menggunakan khidmat pengawal peribadi demi menjaga keselamatan, isteri kepada pelakon Farid Kamil itu berkata, tiada keperluan untuknya berbuat demikian.


"Hendak kata saya dalam bahaya, tidaklah sampai ke tahap itu. Jadi, tidak perlulah 'pasang' 'bodyguard'.


"Dahulu mungkin, iya, tetapi sekarang, memadai saya ditemani kakitangan dan pemandu peribadi.



"Saya pun tidak berani hendak keluar seorang diri," jelas aktres jelita ini.


Terdahulu, isu timbul selepas Diana mendedahkan mesej daripada individu yang berani meluahkan keinginan untuk mencabul kehormatan dirinya melalui ruang soal jawab yang dibuka di IGs.


Perkongsian dimuat naik ibu kepada sepasang cahaya mata itu antara lain menyatakan dia menunggu permohonan maaf dan menegaskan tidak teragak-agak mencari maklumat peribadi individu terbabit.


Dalam perkembangan lain, Diana turut memaklumkan dalam fasa memperbaiki diri sebelum membuat penghijrahan.


Sehubungan itu, Diana berkata, sebagai permulaan, dia akan membuka perniagaan pakaian Muslimah sebagai persediaan untuk ke arah itu.


"Kalau mahu berhijrah, saya tak mahu ia dibuat secara drastik. Biarlah ia berlaku secara perlahan-lahan, namun pasti.


"Dengan adanya bisnes berkaitan pakaian Muslimah secara tidak langsung ia akan lebih mendekatkan diri saya ke arah itu.


"Bukan sahaja busana Muslimah, tetapi saya juga bercadang menjual buku agama kerana ketika ini agak sukar untuk mencari buku agama terutama untuk kanak-kanak.


"Kalau boleh, saya berhijrah bukan sekadar penampilan, tetapi termasuklah aspek kerohanian.


"Doakan yang baik-baik, moga hati saya tidak berbolak-balik. Saya tahu untuk melakukan kebaikan, dugaannya sangat besar dan mencabar," katanya.


Tahun ini menyaksikan Diana kembali aktif dalam dunia lakonan dan bakal muncul dengan dua filem.


Selepas meledak dengan lagu Bersama Dengan Rindu, Diana juga bakal masuk studio untuk pembikinan single baharu.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments