Pasukan Badminton Indonesia terus mengalami dugaan besar pada Sukan Olimpik Paris 2024 apabila kehilangan sejumlah besar duit milik pasukan akibat dicuri didakwa dilakukan oleh sindiket yang menggunakan modus operandi tayar pancit.
Kejadian ini menimpa Armand Darmadji, Pengurus Pasukan Badminton Indonesia, yang kehilangan 53 ribu euro atau sekitar RM260,000 serta dompet dan kad kreditnya.
Armand menjelaskan, kejadian malang ini berlaku pada Isnin, 5 Ogos 2024, kira-kira jam 17.30 waktu tempatan.
Wang yang dicuri adalah wang milik beberapa ahli pasukan badminton, termasuk 53 atlet dan pegawai.
“Ini adalah wang gabungan beberapa orang, kita rangkum semula kerana esok pasukan akan pulang.
“Rancangan kita adalah untuk bertemu pasukan pada pukul 7.00 petang, tetapi dalam perjalanan ia hilang dan dibawa oleh sindiket curi,” kata Armand dalam satu nada kecewa seperti dilaporkan oleh CNN Indonesia.
Kejadian bermula apabila kereta yang mereka naiki mengalami tayar belakang yang pancit.
Rakan sejawatnya, Shendy, memaklumkan kepada Armand tentang keadaan tayar tersebut.
Apabila Armand membuat pemeriksaan, dia terus menghubungi pihak sewa kereta untuk meminta menukar tayar.
“Sewa tanya lokasi kejadian. Disebabkan ada polis di belakang kereta, saya minta polis jelaskan lokasi kejadian.
“Apabila saya balik, rupa-rupanya beg itu hilang. Di dalamnya terdapat pasport, dompet, kredit kad dan wang PBSI. Saya telah melaporkannya kepada polis,” jelas Armand.
Kecurian ini merupakan tamparan keras buat Pasukan Badminton Indonesia yang sedang bergelut di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pihak berkuasa Paris kini sedang menjalankan siasatan untuk membongkar sindiket kecurian ini.
Kredit: Vocket
0 Comments