Iman Khelif tidak bersalah, ini penjelasan Prof Dr Rafidah



Hari ini, kecoh perbincangan tentang atlet "lelaki" dalam kategori sukan perempuan menjadi perbualan hebat. Mungkin kerana pembukaan Olimpik sendiri yang menyokong agenda LGBTQ. 


Malahan sebelum ini  penyertaan atlet transgender Olimpik Tokyo 2020, seperti Laurel Hubbard, atlet angkat berat yang dilahirkan lelaki dan mengaku transisi kepada perempuan melalui pengambilan hormon dalam tahun 2012.


Menurut Prof Dr Rafidah, dalam kes Iman Khelif ini, keadilan perlu diberi pada beliau setelah banyak maklumat mula didedahkan. Iman Khelif dibesarkan sebagai seorang perempuan dan didaftarkan sebagai perempuan. Maka beliau bukan transgender. Secara konsisten beliau menyertai acara wanita.




Walaubagaimanapun dalam ujian kelayakan jantina oleh International Boxing Association (IBA) tahun 2023 dilaporkan ujian genetik beliau menunjukkan kromosom XY. Ujian kelayakan gender ini saya fikir lebih agresif setelah ramai atlit wanita membantah penyertaan atlit lelaki dalam acara wanita. 


Pandangan pakar menyatakan situasi Iman Khelif mungkin dalam kategori DSD 46 XY dengan kekurangan hormon 5-alpha-reductase (alpha reductase deficiency atau ARD). XY DSD 5-ARD. 


Perkara yang dialami oleh mereka dengan DSD 5-ARD ialah ketika dilahirkan mereka boleh mempunyai alat kelamin wanita atau ambiguous, kerana itu mereka dibesarkan sebagai wanita. Namun ketika baligh, level androgen tinggi iaitu hyperandrogen yang juga menyebabkan hormon testosteron meningkat. Ini menyebabkan mereka mempunyai kelebihan fizikal seperti lelaki dari sudut anatomi seperti otot dan tulang.


Atlet DSD tidak bersalah dan mereka tidak menipu. Mereka memang dilahirkan dan dibesarkan dengan jantina yang dominan sebagai wanita ketika itu. Tetapi seiring usia, hormon yang dirembeskan menjadikan mereka seperti lelaki. 




Merujuk fatwa kebangsaan, DSD turut dikategorikan sebagai khunsa dalam Islam. Begitu juga kajian Anisatul Qalbi Mohd Sofiyuddin daripada Kolej Universiti Islam Malaysia, individu yang mempunyai DSD dikategorikan sebagai pesakit bukan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana perkembangan hormon mereka tidak mendatangkan ketiadakupayaan untuk melakukan aktiviti seharian termasuk bersukan. 




Post a Comment

0 Comments