"Jadi kurus cengkung bukan sebab ambil dadah saja" - Along Eyzendy

"Jadi kurus cengkung bukan sebab ambil dadah saja" - Along Eyzendy

 


PUTRAJAYA – Gara-gara mengalami penurunan berat badan secara mendadak, pelakon Along Eyzendy dituduh mengambil dadah.


Menurut Along atau nama sebenarnya, Mohd. Eyzendy Mohd. Aziz, 45, tuduhan mengambil bahan terlarang sebegitu sering diterima sewaktu membuat sesi siaran langsung (live) dalam media sosial.


“Sekarang selain berlakon saya juga berniaga sarapan pagi bersama isteri. Jadi ketika berniaga saya selalu buat live, ketika itulah ramai yang akan bertanya kenapa kurus? Saya okey atau tidak?


“Jadi, saya perlu membuat penerangan secara ulangan. Pada mulanya memang terasa hati dan penat untuk terangkan keadaan saya lama-kelamaan alah bisa tegal biasa. Saya sudah lali dan layankan saja pertanyaan netizen Malaysia,” kata Along.


Tambah Along, dia telah dinasihatkan doktor untuk mengekalkan berat badan bawah 63 kilogram selepas menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada April 2021.




Demi kesihatan juga, Along mengubah gaya hidup menjadi lebih sihat selain tidak mengambil makan malam.


“Demi menjaga berat badan saya telah kurangkan makan dan tidak makan malam walaupun kadangkala hati teringin makan seperti dahulu.


“Saya juga akan pastikan dapat tidur yang cukup selama lapan jam dan perlu elak perkara yang membuatkan saya cepat sakit contoh seperti terkena hujan atau berada di persekitaran ramai orang sakit,” tuturnya.


Along, isteri dan anak-anak


Selain daripada itu, kata Along doktor mengesahkan dia berada dalam keadaan yang baik.


Namun begitu, pemeriksaan berkala masih diteruskan dan terdapat ubat yang perlu diambil seumur hidupnya.


“Pesakit pemindahan buah pinggang seperti saya memang perlu memakan ubat yang mencegah penolakan organ.


“Ini kerana antibodi kita boleh mengesan jika terdapat organ asing yang dimasukkan ke dalam badan. Ubat itu akan mengelakkan antibodi badan menyerang organ tersebut,” kata pelakon filem Budak Kelantan itu lagi.


Along yang ditemui pada majlis sidang media Teater Dang Anum (The Untold Story) di Park Inn by Radisson, Putrajaya di sini semalam.


Bercakap tentang penglibatannya dalam teater kali ini, jelas Along cabarannya lebih berat meskipun pernah membintangi teater yang sama pada tahun lalu.


“Tahun lepas saya membawakan watak Sultan, tetapi kali ini sebagai Bendahara. Jadi, kira watak baharu selain watak Bendahara lebih penting serta banyak babak,” kongsinya.


Teater arahan Amirul Haswendy itu bakal dipentaskan pada 27 hingga 29 September depan di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin dan turut dibintangi oleh Adam Shahz, Ain Sufia, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd., Md Husin dan Karl Dannish.


Tiket-tiket berharga RM25 dan RM65 dibuka untuk jualan bermula 25 Ogos 2024. 


Kredit: KOSMO! ONLINE



Post a Comment

0 Comments