Jangan ingat kami gembira Syamsul, Ira bercerai - Yusof Haslam dan Isteri

Jangan ingat kami gembira Syamsul, Ira bercerai - Yusof Haslam dan Isteri


KUALA LUMPUR: "Saya doakan yang terbaik buat Syamsul, Puteri Sarah dan pihak sana. Tiada istilah benci membenci, saya pun tak mahu bermusuh," katanya.


Demikian luahan penerbit yang juga bapa kepada pengarah Syamsul Yusof iaitu Datuk Yusof Haslam berkenaan berita perceraian anaknya dengan isteri, Ira Kazar.


Yusof yang ditemui di sidang media pertama FFM33 di Studio Digital Mix Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Kelang di sini, petang tadi berkata, dia tidak beranggapan berita itu suatu yang menggembirakannya dan keluarga.


Sejak dulu lagi, Yusof berkata, walaupun tidak bersama keluarga, namun sebagai ibu bapa, mereka tetap mendoakan yang terbaik.


"Saya cakap terus terang, ada orang kata kami anggap ia berita gembira, tapi sebenarnya tidak. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah.


"Jadi, jangan salah faham. Saya tidak tahu dan sudah lama tidak berhubung dengan dia, begitu juga dengan emak dia.


"Memang saya terkejut, tapi apa juga yang terjadi, saya doakan yang terbaik untuk semua pihak.


"Jangan kata saya tepuk tangan. Demi Allah tiada niat dan saya pun tak tahu perkara ini berlaku.


"Biarlah masa dan keadaan yang menentukan apa yang akan berlaku," katanya.


Ketika ditanya mengenai apakah reaksi Datin Patimah Ismail, Yusof berkata, isterinya sudah lama reda dengan apa yang berlaku sama seperti dirinya.


"Dengan saya pun isteri senyap sahaja, tapi jangan ingat kononnya dia gembira.


"Isteri saya bukan apa, dia reda dengan apa yang berlaku dan nak kata ia menggembirakan kita, tidak. Jadi, jangan salah faham sebab ada yang dikatakan oleh isteri saya, ada yang dimanipulasi," katanya.


Dalam pada itu, Yusof juga mengakui ada menemui bekas isteri Syamsul, Puteri Sarah, semalam.


"Puteri Sarah sudah berpisah dengan Syamsul dan apa yang akan berlaku saya tidak tahu. Allah akan menentukan segala-segalanya, saya reda sahaja.


"Saya ada berjumpa dengan Puteri Sarah, dia singgah ke rumah semalam. Kami ada sembang-sembang, itu sahaja.




"Saya pun tiada suruh Puteri Sarah balik kepada Syamsul, itu bukan urusan kita. Yang menentukan kehidupan mereka adalah mereka. Biar mereka buat keputusan. Dia pun terperanjat dan mendoakan yang terbaik.


"Saya harapkan mereka bawa haluan kehidupan masing-masing. Apa yang silap dibetulkan. Sebagai bapa, saya doakan yang terbaik buat Syamsul dan pihak sana.


"Yang sudah itu sudahlah, kami sebagai orang tua terasa apabila jauh daripada keluarga.


Tapi, saya harap daripada apa yang berlaku, sama-sama diperbaiki. Kami juga sebagai orang tua tidak sempurna," katanya.


Semalam, Harian Metro melaporkan Syamsul sudah memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.


Peguam Syarie yang mewakili Syamsul iaitu Azmi Rais mengesahkan anak guamnya itu memfailkan cerai terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, jam 2 petang semalam.


Menurutnya, perceraian itu difailkan Syamsul atas alasan sudah tiada persefaham untuk terus hidup bersama dengan isterinya itu.


Sebelum ini, Syamsul dan Ira atau nama sebenar, Faghirah Fatini Kazaruddin yang juga anak kepada pelakon veteran, Kazar Saisi, bernikah di Selatan Thailand pada 6 Januari tahun lalu.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments