Jebat lega perjuangan 5 tahun menuntut harta Jins Shamsuddin selesai, selepas dituduh membolot dan menipu harta faraid

Jebat lega perjuangan 5 tahun menuntut harta Jins Shamsuddin selesai, selepas dituduh membolot dan menipu harta faraid

 


Kuala Lumpur: Anak kepada Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Putera Hang Jebat meluahkan rasa lega selepas kes harta arwah bapanya akhirnya selesai selepas lima tahun membabitkannya dan dua abangnya, iaitu Jeffry dan Tuah.


Jebat, 37, berkata, dia sentiasa berpegang dengan pesanan bapanya yang meminta agar hanya bersuara apabila keputusan sudah muktamad.


"Alhamdulillah, saya memang rasa lega. Selama lima tahun kami sekeluarga menerima pelbagai persepsi daripada masyarakat. Sekarang, saya rasa lebih tenang sebab kebenaran sebenarnya terbukti di pihak saya.


"Saya ikut pesanan ayah agar tidak terlalu dihebohkan pada awam. Apa-apa pun orang kata kepada keluarga, kita simpan sampai dah terbukti di mahkamah, baru kita akan kongsi.




"Pesan ayah lagi, biar keputusan dan betul-betul muktamad, barulah kita buat apa yang sepatutnya," katanya.


Dihentam dengan pelbagai tohmahan antaranya menipu dan memalsukan tanda tangan, Jebat berkata, ia menjejaskan namanya dan keluarga.


"Pada saya, memang nama saya terjejas sebab di luar sana, kita dapat lihat berlegar berita yang mengatakan saya menipu dan memalsukan tanda tangan.


"Tapi, sebenarnya, pada 2012 lagi, memang niat ayah saya memberikan tanah itu kepada saya dan saya ada dokumennya. Tanah ini adalah tanah rizab Melayu dan pada ketika itu, perlu ditandatangani di depan pembantu pegawai daerah.


"Jadi, apabila dikatakan ayah menandatangani dokumen itu ketika sedang sakit dan sebagainya, mustahil kerana ada pegawai di situ sebagai saksi.


"Tohmahan-tohmahan itu sangat menjejaskan terutamanya ibu saya. Dia dihina dan dicaci. Saya memang susah nak terima benda itu kerana itu ibu saya," katanya.


Ditanya mengenai keadaan ibunya, Puan Sri Halijah Abdullah, 65, saat berdepan tohmahan masyarakat, Jebat berkata, ibunya sangat runsing.


"Ibu runsing apabila berdepan dengan cacian dan makian. Tapi, mujurlah tak menjejaskan kesihatannya. Dia kena lalui lima tahun proses ini. Ada yang bertanya, ada yang bercakap, tapi semuanya kami kena tidak endahkan," katanya.


Jebat juga menegaskan, dia menjual tanah itu untuk menguruskan perbelanjaan perubatan ayahnya dan memberi kehidupan lebih selesa kepada arwah.


"Saya nak beritahu kepada semua orang yang selepas saya jual tanah itu, semuanya adalah untuk perbelanjaan perubatan ayah dan juga untuk bawa ayah jalan-jalan. Kami nak dia rasa selesa selepas dah bersara.


"Saya buat Surat Kuasa Wakil ini untuk satu estet tanah sahaja. Ayah ada banyak lagi harta lain yang masih boleh difaraidkan. Kalau saya tamak, saya akan buat Surat Kuasa Wakil untuk semua harta-harta ayah.




"Tapi, ketika dia masih hidup, dia dah sebut (pindah milik tanah). Tak ada kena mengena dengan saya nak bolot harta. Kebanyakan orang cakap saya nak bolot harta, sedangkan satu tanah ini sahaja yang ayah serahkan. Selebihnya, masih ada dan difaraidkan mengikut undang-undang," katanya.


Ditanya sama ada dia sudah memaafkan saudaranya atas apa yang berlaku, Jebat berkata, ia mungkin akan mengambil masa.


"Sebagai umat Islam, memanglah saya ada rasa marah, tetapi, untuk memaafkan itu saya rasa belum lagi setakat ini. Mungkin akan tiba masanya, tapi, sekarang masih lagi baru berlaku. Tapi, Insya-Allah. Saya berlapang dada," kata Jebat pada Sidang Media Penjelasan Kes Harta Allahyarham Jins Shamsuddin hari ini.


Terdahulu, Jebat berdepan dakwaan memalsukan dokumen Surat Wakil Kuasa membabitkan sebidang tanah seluas 0.265 hektar di Kampong Pasir, Gombak yang dibuat oleh dua abangnya, Jeffrey Jins dan Hang Tuah, tiga tahun lalu.




Namun, pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Jeffry dan Tuah dan kedua-dua mereka perlu membayar kos sebanyak RM10,000 kepada ketiga-tiga defendan termasuk Jebat.


Turut hadir, peguam yang mewakili Jebat, Amirfarid Nawawi.


Kredit: Harian Metro




Post a Comment

0 Comments