Kanak-kanak 8 tahun maut dipercayai dipukul, ibu dan bapa tiri ditahan


Gombak: Dipukul dengan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju dan senjata tumpul sehingga maut.


Itu nasib malang menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia dibunuh semalam.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu di Bandar Tasik Puteri, Rawang pada 5.27 petang.


Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh.


"Pemeriksaan awal ke atas tubuh badan mangsa dapati terdapat kesan kecederaan di bahagian muka dan bibir, paha, dagu dan lutut.


"Mayatnya dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses dibedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.


Noor Ariffin berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh.


"Susulan itu pada jam 9 malam tadi, polis menahan pasangan suami isteri berusia 29 tahun di sebuah pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang.


"Lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, manakala isterinya berusia 28 tahun bekerja sebagai pembuat aiskrim," katanya.


Beliau berkata, suspek direman seminggu bermula hari ini bagi membantu siasatan.


"Lelaki itu adalah bapa tiri kepada mangsa dan wanita terbabit ibu kandungnya.


"Mangsa bersekolah tahun dua di sebuah sekolah di sini namun tidak hadir ke sekolah sejak Jun lalu," katanya.


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments