“Majoriti tak solat Subuh” - Ustaz tegur pengunjung perbarisan Hari Kebangsaan, lalai sampai terlepas waktu Dhuha
SAMBUTAN kemerdekaan
tahun 2024 merupakan tanda kesyukuran atas kebebasan tanah air yang dinikmati
sejak 67 tahun lalu.
Antara atur cara menjadi perhatian
orang ramai adalah perarakan Hari Kebangsaan yang dimeriahkan dengan perbarisan
pelbagai kontinjen penuh warna-warni, jentera serta aset keselamatan negara.
Program gilang-gemilang ini
kebiasaannya bermula seawal pukul 7 pagi, demikian itu mereka yang berminat
untuk turut serta perlu tiba awal di venue bagi mengelakkan kesesakan trafik
serta mendapatkan tempat menyaksikan perbarisan.
Namun dalam keterujaan ini, seorang
lelaki yang digelar ustaz tampil membangkitkan rasa terkilan selain mendakwa
rata-rata hadirin tidak menunaikan solat Subuh susulan perlu bergegas ke lokasi
acara.
"Kesian, sanggup datang berhimpun
pukul 4 pagi, mungkin kalau rumahnya jauh perlu bertolak pukul 2 atau 3 pagi.
Waktu sebegini kita sepatutnya luangkan masa bertemu Tuhan melalui ibadah
tahajud, pasti diangkat darjat setinggi-tingginya.
"Namun sebaliknya pula apabila
masa berharga ini digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat. Malah
perhimpunan ini membuatkan majoriti umat Islam tidak mengerjakan solat Subuh,
Subhanallah.
"Apabila program yang
ditunggu-tunggu ini menyebabkan seseorang itu meninggalkan hak Allah (solat
Subuh), maka inilah yang disebutkan dalam al-Quran sebagai Thaghut (amalan
menyesatkan manusia daripada ajaran Islam)," ujarnya.
Tambahnya lagi, sambutan Hari
Kebangsaan boleh dikategorikan sebagai sesuatu yang melalaikan.
"Beribu alasan untuk membawa
keluarga ke majlis ilmu, tapi boleh pula beri komitmen untuk bawa keluarga
berlibur. Sanggup berpanasan untuk melihat perbarisan, alangkah baiknya jika
waktu itu digunakan bagi melakukan solat Dhuha.
Tujuan saya cuma mahu menyeru masyarakat ke jalan takwa.
USTAZ
"Menerusi amalan Dhuha ini, akan
diberikan kebaikan sewaktu kita menanti 'perbarisan' yang amat panjang di
akhirat kelak, ketika menunggu giliran untuk dihisab. Mensyukuri nikmat
kemerdekaan bukanlah dengan cara begini.
"Ini adalah budaya Barat, kita
bukannya seperti mereka, kita seharusnya berlumba-lumba melakukan kebaikan dan
meninggalkan segala larangan Allah SWT (fastabiqul khairat).
"Hakikatnya ini bukanlah perkara
baharu, tetapi sudah berlaku sejak awal kemerdekaan lagi," jelas ustaz
berkenaan.
Menyedari perkongsiannya
berkemungkinan mengundang kecaman warga maya, ustaz terbabit menerangkan
rasional di sebalik tegurannya itu.
"Tujuan saya cuma mahu menyeru
masyarakat ke jalan takwa. Saya tidak menyebut 'semua' orang dan saya juga
tidak menyebut nama individu tertentu.
"Secara logiknya, perhimpunan
berskala besar yang penuh sesak, hampir mustahil semuanya mampu bangun untuk
mencari tempat wuduk dan ruang bagi menunaikan solat. Lebih-lebih lagi Subuh
adalah waktu yang singkat.
"Bagi sesiapa yang pergi ke
sambutan ini dan jujur sempat bersolat, tak perlu melenting. Semoga hantaran
ini dapat membuatkan orang ramai bermuhasabah diri dan mencari kebaikan dalam
menuju reda Allah SWT," katanya menutup bicara.
Menjengah ke ruangan komen, warga maya
dilihat kecewa kerana ustaz itu memilih untuk berprasangka buruk.
"Ustaz jangan membuat andaian
hanya daripada mata kasar, saya pernah pergi ke sambutan Hari Kebangsaan tahun
lepas, banyak disediakan kemudahan untuk pengunjung menunaikan solat.
"Saya boleh cakap apabila masuk
saja waktu Subuh, majoritinya bangun mendirikan solat, hanya sebilangan kecil
yang mungkin tidak menunaikan sembahyang, ini apa yang saya perhatikan sendiri.
"Macam mana ustaz nak minta maaf
dekat mereka semua nanti? Sungguh tidak adil untuk ustaz membuat rumusan yang
sebegini rupa," demikian kata sebahagian pelayar.
0 Comments