Masjid Ali paling mahal di dunia, dihiasi 100 tan berlian, 7,777 jubin emas tulen

Masjid Ali paling mahal di dunia, dihiasi 100 tan berlian, 7,777 jubin emas tulen

 


TIDAK dinafikan keindahan arkitektur seni bina masjid unik dan luar biasa antara satu perkara yang tidak lekang daripada perhatian masyarakat dunia untuk mengunjunginya.


Lihat saja Masjidil Haram di Makkah; Masjid Sheikh Lotfollah, Iran; Masjid Nabawi, Madinah; Masjid Sultan Omar Alli Saifudin, Brunei; Masjid Faisal, Pakistan dan banyak lagi antara yang mempunyai seni bina dan rekaan bangunan yang begitu luar biasa.


Aura yang terhasil daripada pembinaan masjid itu tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.


Bagaimanapun, terdapat sebuah masjid yang disifatkan memiliki nilai yang sukar digambarkan dan menjadi antara destinasi yang wajib dikunjungi sekali seumur hidup tidak kira agama kerana seni bina, kekemasan buatan dan material yang digunakan suatu yang di luar pemikiran setiap orang.


Masjid Ali yang terletak di kota Najaf, Iraq menonjolkan sesuatu yang begitu luar biasa, membuatkan setiap pelawat yang berada di dalam masjid itu terpesona dan seolah berada dalam sebuah cerita kisah dongeng.


Dikategorikan sebagai masjid paling mewah di dunia, saat pelawat menjengah masuk ke dalamnya, anda tidak akan percaya kerana sinar gemerlapan berlian yang berada di setiap sudut masjid itu pasti membuatkan anda terpukau.


Kemewahan yang dipamerkan itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa betapa hebatnya umat Islam dalam menjadikan tempat ibadatnya seolah-olah berada dalam syurga.


Dihiasi 100 tan berlian, kristal pelbagai warna




Bayangkan setiap langkah anda dalam masjid itu, gemerlapan berlian dan kristal sebanyak 100 tan daripada pelbagai warna, merah, biru, kuning yang dihasilkan terpancar dengan gabungan potongan cermin secara manual menggunakan tangan.


Binaan Masjid Ali ini seluas 5,627 meter persegi ini dihasilkan dengan nilai melebihi AS$40 bilion dan mengambil masa satu setengah tahun dengan jumlah pekerja seramai 1,200 orang untuk dibangunkan.


Malah masjid yang dibina kubah emas ini turut dihasilkan dengan menggunakan sebanyak 46 tan emas sekali gus memperlihatkan kemegahannya.




Dinding binaannya pula diperbuat daripada Greek Alabaster iaitu sejenis batu putih, padat, pemancar cahaya yang digunakan terutamanya untuk tujuan artistik dan hiasan.


Kandungan alabaster itu terdiri daripada kalsium sulfat, gipsum atau batu aljez (kalsium sulfat dengan air) yang mempunyai tekstur pepejal.


Masjid disimbah kilauan emas, juga dibina dengan sebanyak 7,777 jubin emas tulen menutupi kubah dan dua menara emas setinggi 35 meter setiap satu diperbuat daripada 40,000 jubin emas.


Dalam masjid ini dihiasi dengan kemewahan khas masjid dengan lampu neon memantulkan jubin cermin dan dinding perak.


Dilengkapi permaidani tenunan tangan terbesar di dunia



Malah masjid ini juga menjadi dilengkapi dengan permaidani tenunan tangan terbesar di dunia yang pastinya setiap langkah pengunjung akan berasa lembut dan begitu selesa.


Jadi tidak hairanlah, keindahan dan kemewahan Masjid Ali yang sentiasa menjadi bualan di bibir setiap orang, dan dikatakan sekurang-kurangnya lapan juta pelawat akan berkunjung ke Masjid Ali, bahkan pernah mencapai sehingga 20 juta pelawat dalam tempoh setahun.


Mengikut sejarah, bangunan Masjid Ali pertama kali dibangun oleh Buyid Shahanshah, Adud Al-Dawla, pada 977 Masihi berada di sekitar makam Ali Bin Abi Thalib. Ketika peperangan Iraq bangunan ini musnah teruk. Pada 1086 masjid ini dibangunkan semula.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments