Mayat bayi disimen bawah lantai parkir: Penyewa terakhir mengandung, 'lari' sebulan lalu

Mayat bayi disimen bawah lantai parkir: Penyewa terakhir mengandung, 'lari' sebulan lalu


Ipoh: Kediaman yang mayat bayi ditemukan ditanam bawah lantai simen di parkir sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini, dikatakan disewa wanita warga Indonesia.


Bagaimanapun, wanita yang mengandung ketika itu dikatakan melarikan diri dari rumah sewa itu sejak sebulan lalu.


Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata maklumat diperoleh berdasarkan keterangan yang diterima daripada pemilik rumah terbabit.


Katanya, rumah itu disewakan kepada wanita berkenaan sejak tiga tahun lalu dengan kadar sewa RM400 sebulan.


"Dimaklumkan sejak tiga tahun lalu, rumah terbabit disewakan kepada seorang perempuan warga Indonesia dengan kadar bayaran sewa sebulan RM400.


"Pemilik hanya tinggal selang sebuah rumah dari rumah tempat mayat bayi dijumpai.


"Keterangan daripada pemilik rumah menyatakan rumah itu adalah miliknya yang dibeli sejak 20 tahun lalu dan disewakan.


"Pemilik rumah juga menyatakan nampak perempuan Indonesia itu mengandung kerana dia akan mengutip sewa setiap bulan memandangkan penyewa membayar secara tunai," katanya ketika dihubungi hari ini.


Abang Zainal Abidin berkata, lokasi kejadian adalah rumah teres setinggal dengan mayat bayi ditemui di bawah simen perkarangan tempat letak kereta, dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.


Katanya, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan bedah siasat akan dilakukan 9 pagi esok.


Menurutnya, berdasarkan keterangan pakar patologi, mayat bayi itu adalah perempuan, namun tiada sebarang kecederaan ditemui.


"Mayat itu dipercayai berusia tujuh bulan ketika keluar daripada kandungan.


"Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kerana menyembunyikan kelahiran," katanya.


Kredit: Berita Harian



Post a Comment

0 Comments