Nabila Razali, ibu didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret kerana kereta tiada cukai jalan, insurans

Nabila Razali, ibu didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret kerana kereta tiada cukai jalan, insurans

 


ALOR GAJAH: Penyanyi dan pelakon, Nur Nabila Mohd Razali, 31, dan ibunya didenda RM480 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, hari ini, atas empat pertuduhan membenarkan dan memandu sebuah kereta dengan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans, pada Januari lalu.


Majistret, Dr Teoh Shu Yee, memutuskan denda itu selepas menerima pengakuan bersalah ibunya, Shamsidah Abdul Rahman, 58, selaku orang kena saman (OKS) dan mewakili Nur Nabila serta mensabitkan mereka seperti pertuduhan.


Nabila yang dikenali menerusi lagu 'Katakan Saja' dan 'Cemburu' serta drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati (2017), Pesan Pada Hati (2019) dan Seindah Tujuh Warna Pelangi (2020) bagaimana pun hanya mewakilkan ibunya melalui surat untuk menghadapi semua pertuduhan.


Mengikut dua pertuduhan, Nur Nabila sebagai pemilik berdaftar sebuah kereta, didapati membenarkan ibunya, Shamsidah menggunakan kenderaan itu di atas jalan raya dengan LKM tamat tempoh pada 29 September 2023 dan tanpa polisi insurans bagi pihak ketiga.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 9 Januari 2024, kira-kira jam 11.50 pagi di Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), di sini.


Sementara itu, ibunya pula didakwa atas dua pertuduhan iaitu sebagai pemandu didapati menggunakan kenderaan berkenaan dengan LKM tamat tempoh dan tanpa perlindungan insurans pihak ketiga pada masa, tarikh dan di tempat sama.


Mereka didakwa melakukan kesalahan Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.




Bagi kesalahan tiada insurans pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90(2) akta sama, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1,000 atau dipenjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya.


Selain itu seseorang yang disabitkan dengan sesuatu kesalahan mengikut seksyen ini hendaklah, dihilangkan kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu.


Pendakwaan kes dilakukan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan 1987, Fadzil Abu, manakala OKS tidak diwakili peguam bela.


Dalam rayuannya, Shamsidah memohon hukuman denda ringan alas alasan dia hanya seorang suri rumah.


Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM120 atau penjara sehari jika tidak bayar bagi setiap pertuduhan. OKS membayar denda berkenaan yang berjumlah RM480.


Kredit: Berita Harian

Post a Comment

0 Comments