Nenek saudara diberi hak jagaan sementara adik Zayn Rayyan


Shah Alam: Hak penjagaan sementara adik kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin diserahkan kepada nenek saudaranya bermula hari ini.

Peguam Nurul Ikrimah Mohd Raya yang mewakili keluarga memaklumkan, prosiding hak penjagaan kanak-kanak berusia lima tahun itu diputuskan melalui perundingan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor dan ibu bapa kanak-kanak itu di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman hari ini.


"Ibu bapa kanak-kanak itu iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf boleh bertemu anak keduanya itu seminggu sekali hanya dalam tempoh lapan jam.

"Malah, mereka boleh melakukan panggilan video tanpa had," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini hari ini.

Menurutnya, hak jagaan sementara diberikan kepada ibu saudara Zaim Ikhwan Zahari hanya dalam tempoh dua bulan sehingga 4 Oktober.

"Mahkamah juga memutuskan ibu bapa kandung perlu membawa kanak-kanak itu ke pusat terapi khas sebulan sekali," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh perjumpaan, kanak-kanak itu perlu ditemani penjaga yang juga nenek saudaranya.

Dalam pada itu, keputusan itu jelas menceriakan keluarga Zaim dan Ismanira yang tidak putus-putus mencium kanak-kanak berkenaan.



Pada 14 Jun lalu, Harian Metro melaporkan JKM memperoleh perintah jagaan sementara selama dua bulan terhadap adik kepada Zayn Rayyan.

Perintah jagaan itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Shah Alam di bawah Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira yang kedua-duanya berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Kejadian membabitkan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu didakwa berlaku di Apartment Idaman, Damansara Damai, pada 5 Disember tahun lalu.

Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari, masing-masing berusia 29 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Dr Shahliza Warnoh.



Mengikut pertuduhan, Ismanira dan Zaim Ikhwan didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ismanira dan Zaim Ikhwan didakwa mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal antara 5 Disember 2023 jam 12 tengah hari dan 6 Disember 2023 jam lebih kurang 9.55 malam, di sekitar kawasan Jalan PJU 10/1 Damansara Damai.

Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments