Norza letak jawatan, kesal keluarga dibuli siber disebabkan kuota khas Olimpik


Sejak beberapa hari ini, isu melibatkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang membawa ahli keluarganya ke Sukan Olimpik Paris 2024 telah menjadi bualan orang ramai.


Ramai pihak yang mempersoalkan kehadiran mereka di sana walhal jurulatih pemain badminton wanita negara Goh Jin Wei iaitu Nova Armada sendiri tidak diberi peluang untuk menemani atlet berkenaan.


Norza kemudian menjelaskan bahawa dia mempunyai kuota khas untuk membawa tetamunya sendiri dan kuota berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kad akreditasi.


-Advertisement-

Jawapan yang diberikan bagaimanapun tidak meredakan keadaan rasa tidak puas hati peminat sukan apabila ramai yang terus mengkritiknya.


Norza Kecewa Ahli Keluarga Dibuli Di Media Sosial


Terbaharu, Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tampil mempertahankan keluarganya selepas mereka dikritik keras oleh orang ramai menerusi gambar tular semasa acara temasya Olimpik Paris 2024.


Menurutnya, dia berkhidmat secara pro-bono (tanpa bayaran) dalam kedua-dua persatuan tersebut.


“Saya tidak menerima sebarang gaji daripada kedua-dua pertubuhan mahupun elaun. Saya ingin membantu membawa kecemerlangan dan kebanggaan kepada negara kita.


“Serangan terhadap keluarga saya ini sama sekali tidak perlu dan keluarga saya tidak perlu melalui sorotan sedemikian,” jelasnya.


Tak Seharusnya Dibuli Secara Siber – Pengarah Pentadbiran BAM


Dalam masa sama, Pengarah Pentadbiran BAM Michelle Chai juga menyebelahi dan membela Norza dengan berkata segala peraturan telahpun dipatuhinya.


Malah dia juga beranggapan pembulian siber terhadap ahli keluarga Norza adalah satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku.




“IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) sememangnya memberi akreditasi kepada presiden dan setiausaha agung NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan). Setiap daripada mereka mendapat seorang tetamu yang menemani dan pada kad itu akan tertera perkataan MOM.


“Sama seperti atlet, pegawai juga tidak seharusnya dibuli secara siber. Sila fahami isu tersebut sebelum membuat komen.


“Jika kita tidak menyukai seseorang, tidak bermakna semua yang dia lakukan adalah buruk,” kata Michelle.


Norza Akan Segera Letak Jawatan Daripada BAM

Susulan kritikan ramai, Norza turut dilaporkan akan mengundur diri dengan kadar segera daripada BAM.


“Melihat semua maklum balas ini, saya merasakan hanya akan mengatakan bahawa saya akan meletak jawatan tidak lama lagi daripada BAM seperti yang ramai orang tahu tentang hal ini.


“Saya berharap pemimpin seterusnya dapat menambah baik keadaan hal ehwal badminton di negara kita,” ujarnya.


Pada 25 Mei lalu, Norza telah mengumumkan bahawa dia akan meletakkan jawatan sebagai Presiden BAM sejurus Sukan Olimpik Paris tamat.


Timbalan Presiden BAM I V Subramaniam dilaporkan akan dilantik sebagai pemangku presiden sehingga mesyuarat agung tahunan pada April atau Mei 2025.


Norza Bawa Keluarga Ke Sukan Olimpik Guna Dana Sendiri

Terdahulu, Norza telah memperjelaskan isu kuota khas Olimpik yang tidak disenangi ramai. Jelas Presiden Persatuan BAM itu, dia tidak menggunakan dana kerajaan bagi menampung perjalanan ahli keluarganya ke Paris.


Sebaliknya, beliau menggunakan dana sendiri bagi membiayai perbelanjaan keluarganya ke sana.


Jelas MOM, pihaknya dan IOC hanya mempermudahkan akses dan ia dilakukan bagi memastikan tiada sumber kerajaan digunakan bagi tujuan terbabit.


Kredit: The Star, Buzzkini

Post a Comment

0 Comments