ANKARA: Atlet Algeria, Imane Khelif merangkul pingat emas dalam acara tinju wanita yang berlangsung di Stadium Roland-Garros, di tengah-tengah kontroversi mengenai jantina.
Khelif, 25, dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Yang Liu dari China dengan keputusan 5-0 bagi kategori 66 kilogram, lapor Agensi Anadolu.
Atlet kebangsaan Algeria itu sebelum ini hilang kelayakan untuk bertanding di Kejohanan Dunia 2023 selepas gagal ujian kelayakan jantina.
Ini merupakan pingat emas pertama Algeria dalam acara tinju wanita.
"Saya sangat gembira. Selama lapan tahun, ini adalah impian saya dan kini saya adalah juara Olimpik serta pemenang pingat emas.
"Saya telah bekerja keras selama lapan tahun, tanpa tidur. Sekarang saya seorang juara Olimpik," kata Khelif.
Yang turut memuji Khelif.
"Saya telah mencuba yang terbaik, tetapi lawan saya jauh lebih hebat. Dia adalah seorang petinju yang cemerlang dan sangat kuat," kata Yang.
Perlawanan pembukaan Khelif di Sukan Paris pada 1 Ogos menentang Angela Carini dari Itali hanya berlangsung selama 46 saat selepas atlet itu menarik diri daripda perlawanan.
"Saya tidak dapat menghabiskan perlawanan. Saya merasakan kesakitan yang kuat di hidung," kata Carini selepas pertarungan itu.
Carini kemudian memohon maaf kerana tidak berjabat tangan dengan Khelif selepas kemenangan petinju Algeria itu.
Khelif berjaya menyingkirkan Carini (pusingan awal), Anna Luca Hamori dari Hungary (suku akhir), Janjaem Suwannapheng dari Thailand (separuh akhir) sebelum menewaskan Yang dalam perlawanan akhir.
Kredit: BERNAMA
0 Comments