Hanoi: Doktor di Hospital Viet Duc di sini, baru-baru ini, menyelamatkan nyawa seorang pemuda dengan melakukan pembedahan kecemasan untuk mengeluarkan belut hidup yang memasuki rongga perutnya hingga menggigit usus mangsa.
Memetik laporan Oddity Central, seorang warga India berusia 31 tahun dibawa ke unit kecemasan hospital itu selepas mengadu sakit perut yang teruk.
Lelaki yang enggan dikenali itu memberitahu kakitangan hospital bahawa dia memasukkan belut hidup ke dalam badannya sebelum dia mula mengalami sakit perut.
Doktor yang bertugas berkata, pada awalnya mereka tidak mempercayai pesakit itu.
Bagaimanapun, sinar-X dan pemeriksaan ultrabunyi menunjukkan rangka mendatar dalam rongga perut lelaki itu, yang ternyata adalah belut hidup.
Pihak hospital dengan cepat mengumpulkan sepasukan pakar endoskopi dan bius untuk melakukan kolonoskopi dan mengeluarkan benda asing itu.
Namun, mereka tidak dapat mengeluarkan belut itu sehingga memaksa lelaki itu menanggung kesakitan berterusan.
Doktor tidak mempunyai pilihan selain melakukan pembedahan pada perut lelaki itu. Mereka terkejut apabila menemukan seekor belut hidup yang panjangnya kira-kira 65 sentimeter.
"Belut itu menggigit rektum dan kolon pesakit untuk lari ke dalam rongga perut.
"Belut boleh bertahan dalam keadaan anaerobik untuk masa yang lama dan mempunyai keupayaan untuk menggigit melalui saluran gastrousus," kata Timbalan Pengarah Pusat Pembedahan Kolorektal di Hospital Viet Duc, Le Nhat Huy.
Selepas mengeluarkan belut yang menghalang dubur lelak itu dan memeriksa bendasing lain, doktor menjahit tebuk di kolonnya dan juga melakukan kolostomi.
Mengenai tindakan lelaki itu memasukkan belut hidup ke dalam badannya, ia masih menjadi misteri.
Terdahulu, kejadian sama berlaku beberapa bulan yang lalu, mengenai seorang lelaki yang dimasukkan ke Pusat Perubatan Daerah Hai Ha di Wilayah Quang Ninh, Vietnam, dengan kekejangan perut yang teruk.
Doktor menemukan seekor belut hidup yang sudah menggigit perutnya.
Kredit: Harian Metro
0 Comments