Pelakon terkenal Indonesia Reza Rahadian ikut tunjuk perasaan - "ini bukan negara milik keluarga tertentu"

Pelakon terkenal Indonesia Reza Rahadian ikut tunjuk perasaan - "ini bukan negara milik keluarga tertentu"


JAKARTA: Aktor Indonesia terkenal, Reza Rahadian hari ini telah keluar ke jalanan untuk bersama-sama ribuan masyarakat republik itu untuk membantah keputusan Mahkamah Konstitusi (MK) di hadapan Gedung Dewan Perwakilan Rakyat (MPR) di tengah bandar raya Jakarta.

Kehadirannya sebagai penggiat seni berpengaruh dilihat sebagai sosok penting yang mewakili suara rakyat yang tidak berpuas hati dengan situasi terkini dalam pentadbiran dan politik Indonesia khususnys menjelang Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) 2024.



"Saya hadir hari ini sebagai rakyat biasa bersama teman-teman semua. Sebagai orang yang gelisah melihat demokrasi kita hari ini.

"Ini bukan negara milik keluarga tertentu," tambah Reza, seperti yang dipetik daripada Kompas.com.


Tunjuk perasaan itu adalah berhubung keputusan MK pada Selasa lalu berkenaan had umur calon Pilkada yang menurutnya telah diubah meskipun terdapat 'usaha' Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk membahasnya.



Indonesia pada akhir-akhir ini 'panas' dengan beberapa episod keputusan dan tindakan peringkat tertinggi yang disifatkan menyebelahi keluarga dinasti politik tertentu dan golongan elit yang berkepentingan.

Reza yang berucap lantang di atas sebuah kenderaan di khalayak ramai mempersoal tentang 'siapa yang diwakili oleh para anggota DPR'.

"Anda yang di dalam ini wakil siapa?" katanya tegas, sambil tetap mengingatkan para peserta protes agar menjaga keamanan suasana dalam demonstrasi tersebut.

Protes yang disertai ribuan peserta termasuk dari kumpulan pekerja, mahasiswa dan organisasi masyarakat itu dilaporkan turut dianjurkan di beberapa bandar utama lain di seluruh negara berkenaan.

VIDEO:
Terdahulu, Mahkamah Konstitusi (MK) memutuskan mengubah had usia pencalonan kepala (ketua) daerah yang dicadangkan oleh Parti Buruh dan Gelora.

MK memutuskan bahawa had usia pencalonan kepala daerah tidak lagi sebesar 25 peratus perolehan suara parti politik atau gabungan parti politik hasil Pemilihan Legislatif (Pileg) Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) sebelumnya, atau 20 peratus kerusi DPRD.

MK menetapkan bahawa had usia pencalonan kepala daerah dari parti politik disamakan dengan had usia pencalonan perseorangan sebagaimana yang tertera dalam Fasal 41 dan 42 Undang-Undang Pilkada.

Sehari setelah keputusan, DPR dan pemerintah telah bermesyuarat untuk membahas pindaan UU Pilkada. Namun, perubahan yang dilakukan tidak sesuai dengan keputusan MK.

Menurut Kompas.com, Wakil Ketua Badan Legislasi (Baleg) DPR, Achmad Baidowi, mendakwa bahawa pindaan UU Pilkada dilakukan semata-mata untuk memberi laluan kepada keputusan MK. Itu akan membolehkan parti non-Parlimen mencalonkan kepala daerah yang dimahukan.



Sejak semalam, laman media sosial Indonesia dipenuhi hantaran berupa imej poster jata negara republik itu, iaitu lambang Garuda dengan latar biru, serta tulisan 'Peringatan Darurat'. Ia merupakan simbol kemarahan rakyat untuk menunjukkan bahawa sistem demokrasi republik itu sedang tenat, lantaran dengan sewenang-wenangnya dimanipulasi pihak tertentu demi mengekalkan pengaruh serta kuasa.

Selain Reza, antara individu berpengaruh dari kalangan rakyat yang turut turun ke jalanan untuk menzahirkan protes adalah pelawak dan pelakon Bintang Emon. Personaliti dunia kewartawanan yang disegani iaitu Najwa Shihab juga antara yang memuat naik poster 'Peringatan Darurat' itu ke akaun media sosialnya. Hal yang sama turut dilakukan pengarah Joko Anwar, pelakon Fedi Nuril dan pelawak Pandji Pragiwaksono.

Dalam menuju penghujung penggal pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi), pemerhati politik dan rakyat negara itu hangat berdebat tentang beberapa kecelaruan dan perubahan undang-undang yang kontroversi.

Antaranya adalah tentang keputusan peringkat tertinggi yang seolah-olah membuka jalan mudah kepada anak-anak Jokowi, iaitu Gibran Rakabuming Raka dan Kaesang Pangarep, untuk menempa kedudukan dalam pentas politik negara itu.

Kredit: Astro Awani



Post a Comment

0 Comments