Kuala Lumpur: Selepas hampir tiga bulan tidak diturunkan dalam mana-mana perlawanan kompetitif Liga Malaysia (Liga M), bintang Selangor FC, Faisal Halim mengakui dirinya memang terkejut apabila disenaraikan dalam perlawanan separuh akhir Piala FA kedua, malam tadi.
Jelas Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey, dia sangat gembira apabila dapat berada di padang selepas beberapa bulan dan itu memberi keyakinan lebih tinggi kepada dirinya.
Meskipun tiada dalam kesebelasan utama dan tidak diturunkan sebagai pemain gantian, Faisal menganggap kehadirannya itu membawa semangat perjuangan buat rakan-rakan yang lain.
"Ya, saya pun terkejut juga, baru dapat tahu (berada dalam senarai pemain) tapi apa yang saya boleh buat, saya boleh bantu pemain lain dengan semangat yang saya ada.
"Sudah tentu, lagi beberapa hari sudah nak masuk tiga bulan saya direhatkan dan kecederaan ini yang menimpa kepada saya memang amat sedih dan kembalinya saya pada malam ini (malam tadi) di Stadium MBPJ (Majlis Bandaraya Petaling Jaya), ia salah satu semangat baru untuk diri saya.
"Tahniah kepada rakan-rakan saya, tahniah kepada semua rakyat Selangor. Kemenangan pada malam ini untuk anda semua. Apa yang saya boleh katakan, saya membawa semangat apa yang saya mampu.
"Walaupun saya tak mampu bermain secara 'fit' lagi, tapi saya dapat beri satu semangat untuk rakan-rakan saya," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Selangor FC yang ketinggalan satu gol selepas tewas 2-3 kepada Terengganu FC di separuh akhir pertama, seperti mendapat satu semangat baharu malam tadi dan mempamerkan prestasi yang cukup cemerlang untuk menang 6-4 secara agregat dan layak ke pentas akhir Piala FA.
Untuk makluman, Faisal terpaksa berehat panjang selepas dirinya menjadi mangsa simbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu hingga menyebabkan dia menggalami kelecuran tahap empat.
Kecederaan yang dialami oleh tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.
Namun begitu, berbekalkan semangat yang cukup tinggi untuk bermain bola sepak, dia dapat kembali lebih cepat daripada masa yang sepatutnya.
0 Comments