Kuala Lumpur: "Jangan buat kerana nak kelihatan cantik, tapi lakukan kerana Allah," kata pengacara, Raja Azura, 52, mengenai keputusannya untuk bertudung selepas pulang mengerjakan ibadah haji, Julai lalu.
Raja Azura ketika berkata, perubahan yang dilakukan itu atas pilihan diri sendiri yang sudah semakin meningkat usia.
"Apabila sudah sampai waktu, kita berubah menjadi seorang yang lebih baik.
Kita semua makin lama makin meningkat usia. Saya tidak seperti orang lain yang mendapat mimpi dibakar sebelum memilih untuk bertudung.
"Saya lakukan dengan ikhlas kerana Allah dan sedar menutup aurat ini adalah tanggungjawab dan wajib kepada diri saya," katanya.
Menurut Raja Azura, dia mengaku sudah puas dengan imej yang digayakan sebelum ini dan memohon orang ramai mendoakan perkara yang baik kepada individu lain yang belum bertudung.
"Saya dah lalui macam-macam dalam hidup ini. Kita semua melalui proses kehidupan tidak kira baik atau buruk.
"Kalau ada dalam kalangan kita yang belum bertudung, jangan kita menyalahkan individu itu kerana mereka juga milik Allah.
"Setiap orang akan melalui pelbagai dugaan dalam hidup. Jika tiada ujian, tidak mungkin mereka mampu menjadi seorang yang matang.
"Jadi kita kena selalu berfikiran positif untuk orang lain. Belum tentu yang sudah bertudung itu hatinya baik, jadi perbetulkan diri sebelum nak istiqamah," katanya.
Dalam pada itu, Raja Azura turut meluahkan rasa teruja apabila berpeluang mengerjakan haji buat kali kedua bersama ibu tercinta tahun ini.
0 Comments