'Saya sempat membisikkan dua kalimah syahadah ketika mangsa masih bernyawa'

'Saya sempat membisikkan dua kalimah syahadah ketika mangsa masih bernyawa'


Sik: "Saya sempat membisikkan dua kalimah syahadah pada mangsa yang ketika itu masih bernyawa.


"Ketika itu keadaan pelajar lelaki terbabit agak lemah dan berlumuran darah di kepala, selain luka di badan," kata anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Sik, Rozaidi Saat.


Dalam kejadian sekitar 7.20 pagi tadi, pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Assif Md Zahid, 17, meninggal dunia akibat dihempap pokok durian yang tumbang di Kampung Charuk Sireh di sini.


Rozaidi berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerjanya dan ternampak remaja lelaki itu terbaring di tengah jalan tidak jauh dari rumah mangsa.


"Ketika itu hujan baru berhenti kerana keadaan jalan masih basah tetapi tiada angin waktu itu.


"Arwah menunggang motosikal sendirian dengan berpakaian sukan sekolah ketika kejadian berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.


Menurut Rozaidi, bapa mangsa yang ketika itu di tempat kejadian memintanya membantu membawa remaja itu ke Hospital Sik.


Katanya, dia mengambil kain dan membalut tubuh remaja itu sebelum mengangkatnya masuk ke dalam kereta.


"Saya lakukan dengan berhati-hati bagi mengelakkan kecederaan yang dialami mangsa lebih serius.


"Orang awam memang tidak boleh mengangkat sesuka hati mangsa kemalangan tetapi atas permintaan bapanya, saya lakukan jua dan menemani bapa mangsa sehingga ke hospital," katanya yang sudah empat tahun bertugas dalam APM.


Katanya, sepanjang perjalanan, arwah sudah kaku tetapi masih bernyawa dan sebaik tiba di hospital, doktor sudah berusaha merawatnya.


"Saya sedih apabila dimaklumkan arwah sudah meninggal dunia tidak lama kemudian," katanya.


Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, punca kematian mangsa disebabkan kecederaan traumatik pada otak yang teruk (severe traumatic brain injury).


Kredit: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments