"Saya tidak mahu terikut menjadi mereka yang 'attention seeker' atau laparkan perhatian" - Rahim tidak mahu menghadiri sebarang Potcast

"Saya tidak mahu terikut menjadi mereka yang 'attention seeker' atau laparkan perhatian" - Rahim tidak mahu menghadiri sebarang Potcast


Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio, Rahim Sepahtu, 54, menyifatkan hantaran video yang dimuat naik di Instagram dengan tulisan 'daripada join podcast, baik aku join potluck' adalah bersifat 'general' atau umum.


Rahim atau nama sebenarnya, Rahim Mat Ali ketika dihubungi berkata, dia mendapati banyak mesej yang baik dikongsikan oleh wanita terbabit dalam hantaran video itu dan wajar untuk disebarkan sebagai pengajaran buat pengguna media sosial.


"Video yang saya muat naik itu bersifat 'general' (umum), di mana banyak mesej baik disampaikan itu bagus untuk dijadikan pengajaran untuk diri saya sendiri dan kita semua yang terdedah dengan pengaruh media sosial ketika ini.


"Memang banyak yang positif boleh kita ambil daripada video itu untuk dijadikan pengajaran pada diri agar tidak terikut dengan kategori orang disebutkan, terutama mereka yang 'attention seeker' atau laparkan perhatian," katanya


Mengulas namanya yang dipetik pelawak, Shuib dalam Dol's Potcast baru-baru ini, Rahim berkata, dia tahu mengenai perkara itu daripada perkongsian banyak pihak kepadanya yang bertanya apa permasalahan antara mereka.


"Saya sebenarnya dah lama tak ambil tahu mengenai perkembangan sahabat saya itu kerana sudah kena 'block' (sekat) dengannya (Shuib) di media sosial dan nombor telefon juga. Jadi, memang dah lama kami tak berhubung.


"Sewaktu dia bernikah tahun lalu pun, saya tidak hadir ke majlisnya sebab tidak dijemput. Tapi, syukur Alhamdulillah dia kini sudah menemui kebahagiaan semula dan saya doakan terbaik buatnya.




"Cuma, diakui memang saya dan dia (Shuib) ada perselisihan faham yang berlaku, tapi tidak perlulah membawanya hingga ke media sosial. Sebagai sahabat, itu yang saya ada rasa sedikit terkilan," katanya.


Menurut Rahim, apa punca perselisihan faham itu biarlah menjadi rahsia antara mereka dan tidak perlu dihebahkan untuk mendapat perhatian umum kerana itu tindakan lebih baik.


Terdahulu, Shuib dalam sesi siaran langsung Dol's Potcast difahamkan menjawab soalan daripada seorang pengikutnya bahawa dia tidak akan mengundang Rahim sebagai tetamu untuk episod seterusnya.


Justeru, klip video jawapan itu menimbulkan kontroversi dan tular di kalangan netizen yang tertanya-tanya apakah sebenarnya berlaku dalam hubungan persahabatan Shuib dan Rahim yang dikatakan rapat sebelum ini.


Apatah lagi, Rahim adalah antara rakan yang sanggup mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE)semasa pengebumian isteri Shuib, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak, tiga tahun lalu.

Post a Comment

0 Comments