IPOH – “Saya terkejut dengar bunyi dentuman kuat sebelum lihat sebuah kereta terbabas dengan tiga mangsa tercampak keluar”.
Demikian kata pengawal keselamatan, S. Terryshaan, 32, yang menjadi antara saksi terawal kes kemalangan meragut nyawa pasangan suami isteri warga emas di Jalan Kuala Kangsar di sini semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 10.46 malam itu, mangsa yang maut ialah Amiruddin Abdullah, 75, dan Teh Jamaliah Mat Ali, 72, yang maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Menurut Terryshaan, kejadian berlaku ketika dia sedang melakukan tugas ronda di pusat jualan kereta sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika pasangan suami isteri itu bersama anak perempuan dan menantu dalam perjalanan pulang ke Pengkalan Pegoh selepas menikmati makan malam di Chemor.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Juara yang dipandu dari arah Tasek menghala ke Pekan Ipoh itu hilang kawalan semasa melalui tempat kejadian.
“Dalam kejadian itu, menantu mangsa berusia 52 tahun yang memandu kereta cedera di kaki manakala isterinya berusia 49 tahun pula cedera di bahagian paha kanan, tangan kiri dan luka dahi serta kening,” katanya di sini hari ini.
Kredit: KOSMO!
0 Comments