Pada minggu lalu, kecoh di media sosial mengenai kenyataan yang dibuat oleh seorang influencer dalam satu siaran audiosiar YouCast.
Pempengaruh yang dikenali sebagai DMA Islam itu menjadi perhatian apabila menganggap pengajiannya di peringkat ijazah yang sedang diikutinya daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan satu perniagaan.
Ini kerana influencer terbabit menganggap dia ‘membayar’ universiti bagi mendapatkan sijil akademik tersebut dan sebagai pulangan, UniSZA memberinya ijazah.
Malah, dia turut menyatakan bahawa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tempat dia menimba ilmu itu seharusnya terhutang budi atas urusan jual-beli yang dibuat oleh dirinya.
Dakwaan itu nyata menjadi perhatian sehinggakan pengguna media sosial menganggap pempengaruh itu menghina ilmu dan mahu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UniSZA mengambil tindakan atas kenyataan yang dibuat.
UniSZA Tidak Akan Berkompromi
Terbaharu, UniSZA tampil memberi respon mengenai dakwaan wujudnya penjualan sijil akademik seperti yang hangat diperkatakan di media sosial.
Jelas UniSZA menerusi satu kenyataan, pihaknya memandang serius isu tersebut dan tidak akan berkompromi bagi menjaga mutu program diploma dan ijazah.
“UniSZA sentiasa memastikan pematuhan terhadap tatakelola dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“UniSZA juga sentiasa diaudit oleh Badan-Badan Akademik dan Profesional bertauliah bagi menjaga mutu pendidikan serta graduan yang dihasilkan.
Laporan Polis Telah Dibuat
Tambah UniSZA, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang bagi menjaga kepentingan dan nama baik institusi pendidikan itu yang tercemar akibat penyebaran maklumat yang salah di platform media sosial.
“Laporan polis juga telah dibuat agar penyebaran maklumat palsu dan penerimaan maklumat yang salah oleh masyarakat awam dapat dikekang,” tulisnya lagi.
Nasihat Orang Ramai Agar Sentiasa Semak Kesahihan Maklumat
Pada masa yang sama, UniSZA turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang komen atau kenyataan yang boleh menularkan lagi maklumat yang salah.
“UniSZA akan terus komited dalam menjaga nama baik IPT Malaysia dan memastikannya tidak tercemar serta sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” tulis mereka lagi.
0 Comments