'Yasin sengaja tanam, miliki 140 pokok kanabis, ganja' - Hakim Mahkamah Tinggi

'Yasin sengaja tanam, miliki 140 pokok kanabis, ganja' - Hakim Mahkamah Tinggi

 



SHAH ALAM: Komposer dan penyanyi terkenal, Yasin Sulaiman, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dengan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya, dua tahun lalu.


Hakim, Datuk Norsharidah Awang, menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin, yang melepas dan membebaskan pelantun lagu Mimpi Laila itu.



Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, sebelum diperintah ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama mana tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang.


Mengikut pertuduhan pertama, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952, bapa dua anak itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan.


Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan manakala pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Yasin dijatuhi hukuman penjara 10 bulan.


Norsharidah turut memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 24 Mac 2022.


Terdahulu, Norsharidah dalam penghakimannya berkata, pasukan pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di Mahkamah Sesyen dan Yasin selaku responden dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.


"Bagaimanapun, responden memilih untuk berdiam diri dan memanggil saksi pakar iaitu saksi pembelaan pertama, (SD1, Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony) di peringkat pembelaan.


"Isu di sini adalah sama ada Mahkamah Sesyen boleh membuat dapatan dengan hanya bergantung kepada keterangan SD1 dan juga responden memilih untuk berdiam diri.




"Dalam kes ini responden memilih untuk tidak mengemukakan keterangan terhadap dirinya yang tidak sempurna akal mengikut 'legal insanity'," katanya.


Katanya, beban pembuktian Yasin tidak sempurna akal masih terletak pada responden untuk mengemukakan keterangan pakar dan keadaan responden ketika kejadian.


"Saksi pendakwaan ketujuh (SP7, pakar bioteknologi tumbuhan Prof Dr S Sreeramanan) memberi keterangan mengenai pokok kanabis yang dirampas dari rumah responden serta alatan yang ditemui di rumah itu yang konsisten digunakan dalam penanaman pokok kanabis.


"Keterangan SP7 menerangkan jangka masa penanaman yang mengambil masa beberapa minggu untuk tumbuh di samping penjagaan rapi, keterangan SP7 menunjukkan responden mempunyai pengetahuan untuk membuktikan bahawa keadaan kesihatan mental adalah waras ketika dia ditahan oleh saksi pendakwaan ketiga iaitu Pegawai Risikan, Operasi dan Tahanan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Inspektor Darwis Aripin," katanya.


Menurutnya, tertuduh hanya bersandar kepada keterangan SD1 untuk membangkitkan pembelaan, keterangan SD1 dan laporan psikiatri semata-mata adalah tidak mencukupi untuk menyokong pembelaan responden sebagai tidak sempurna akal.


"Tiada keterangan menyokong apa yang diperkatakan SD1 di dalam laporan beliau, laporan psikiatri hanya disediakan oleh SD1 lebih setahun kepada responden untuk dikemukakan kepada mahkamah.


"Keadaan responden semasa dan sebelum kejadian amat penting bagi SD1 membuat rumusan mengenai keadaan mental responden pada keadaan masa berlaku," katanya.


Norsharidah berkata, keterangan Dr Ian lloyd adalah dibuat berdasarkan sesi temubual dengan responden ketika tempoh pemerhatian di Hospital Bahagia.


"Laporan SD1 hanya tertumpu kepada psikiatri dan tidak menyokong pembelaan.


"Keterangan SD1 mengesahkan responden adalah tidak sempurna akal dari sudut perubatan semasa tangkapan, akan tetapi merujuk kepada saksi-saksi semasa pendakwaan menunjukkan responden memang sengaja melakukan perbuatan jenayah itu iaitu memiliki 123 pokok kanabis, menanam 17 pokok ganja dan memasukkan dadah berbahaya ke dalam badan," katanya.




Hakim menegaskan mahkamah tidak terikat dengan dapatan saksi pakar kerana peranan saksi itu hanyalah untuk membantu mahkamah membuat keputusan.


Hujahnya, penanaman ganja yang dilakukan responden mengambil masa untuk pokok itu tumbuh membesar adalah menunjukkan responden tidak berada dalam keadaan tidak waras.


"Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan dan pembelaan, mahkamah ini berpendapat bahawa Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam membuat keputusan melepas dan membebaskan responden sehingga membuat keputusan responden diletakkan di bawah jagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, oleh itu rayuan perayu dibenarkan dan tertuduh disabitkan bersalah," katanya.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.


Mengikut pertuduhan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.


Bagi kesalahan itu, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.




Pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.


Hukuman bagi seksyen memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.


Pertuduhan ketiga Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.


Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.


Kredit: Berita harian



Post a Comment

0 Comments