Abang bas ‘crush’ dengan murid sekolah menangis didakwa

 MUAR – Pemandu bas yang sebelum ini tular memuat naik rakaman video penumpang bas sekolah sebagai ‘crush’ atau ‘kesayangan’ menangis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak, sejak April lalu.


Tertuduh yang berusia 24 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor sambil dilihat hanya menunduk serta mengesat air matanya ketika rayuan jaminan dibuat.



Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah mencium pipi kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan anak suadaranya bagi maksud seksual.


Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 5 petang hingga 6 petang di dalam bas sekolah di Simpang Renggam dalam daerah Kluang pada April sehingga September 2024.


Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 petang hingga 6 petang bertempat di dalam bas sekolah di alamat sama, pada bulan ini.


Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan Amang Seksual Bukan Fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.


Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.


Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Abdul Ghafar Ab. Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 dikenakan bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kes tersebut mendapat perhatian umum yang telah memberi bermacam-macam komen serta gesaan terhadap pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.


Tambahnya, salah seorang mangsa juga merupakan anak saudara kepada tertuduh, justeru pihaknya turut memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak kacau ganggu mangsa dan semua saksi pendakwaan termasuk kakak dan ibunya sendiri.


Pihak pendakwaan turut memohon agar syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai dikenakan.


Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah serta jumlah jaminan adalah bertujuan bagi memastikan kehadiran dan tidak boleh keterlaluan sehingga membebankan tertuduh.


Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan bersetuju dengan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.


Beliau kemudian menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen.


Kredit: KOSMO! ONLINE 




Post a Comment

0 Comments