Kulim: "Lagi banyak kisah menakutkan berlaku di tempat itu, lagi teruja saya untuk sampai dan menjelajah segenap sudut kawasan berkenaan.
"Rasa ingin tahu yang meluap-luap mengatasi rasa takut. Setakat ini belum ada kejadian mudarat menimpa saya sejak terbabit dalam eksplorasi malam secara bersendirian di lokasi 'keras' di Malaysia," ujar pempengaruh paranormal, Hanizamal Abu Hanifah atau lebih dikenali sebagai Solo Ambush.
Keberanian Hanizamal memberi inspirasi kepada ramai pengikutnya selepas dia kerap ' menerjah' kawasan dikatakan paling menyeramkan di Malaysia atau luar negara secara sendirian.
Menurut pencipta kandungan itu, bukan hanya lokasi dalam negara, beberapa lokasi luar negara seperti Istana Dracula di Romania dan 'Hutan Bunuh Diri' di Jepun pernah dilawati dan menjadi kandungan Tiktok.
"Saya sudah biasa bergerak sendiri berikutan mempunyai pengalaman ketika menjadi pendaki gunung.
"Ketika bermalam di puncak gunung seorang diri, saya terpaksa berdepan dengan pelbagai 'gangguan'. Saya berkongsi aktiviti di gunung dengan membuat 'live' menerusi Facebook dan ketika itu sudah ramai meminta saya menyelidik lokasi 'keras' seperti Villa Nabila dan Pulau Besar.
"Peranan saya tidak semestinya mencari hantu, sebaliknya lebih kepada kegiatan membongkar sama ada di lokasi 'keras' itu wujud entiti atau benar-benar menyeramkan. Saya masih aktif berkongsi di platform FB dan Tiktok," katanya.
Hanizamal memaklumkan, kandungan dikongsi bukan hanya berkisar isu paranormal malah dia turut menggemari rahsia alam ghaib dan ilmu warisan Melayu yang tidak ramai ketahui.
"Kandungan saya bukan hanya menjejak entiti atau lokasi seram di Malaysia atau di luar negara. Saya juga meminati sejarah dan ilmu warisan Melayu selain kisah kehebatan orang lama.
"Saya turut mengkaji dan memperincikan berkaitan ilmu kebal, mandi minyak dan banyak lagi. Pada saya kisah ini tidak banyak diceritakan dan sewajarnya perlu direkod untuk diceritakan pada generasi akan datang," katanya.
Hanizamal berkata, dia mengambil langkah berhati-hati terutama dalam persiapan menjelajah bersendirian di lokasi berisiko.
"Sebagai penjelajah solo di kawasan yang ditakuti orang ramai, saya kena ambil langkah berjaga-jaga.
"Selain peralatan dan gajet mencukupi, saya juga akan teliti risiko dan lakukan penilaian di kawasan lapangan.
"Walaupun berada solo di lokasi namun ada masanya saya dipantau seorang pembantu yang berada agak jauh dari kawasan dilawati.
"Sebenarnya interaksi secara langsung dengan penonton juga antara kaedah selamat bagi memastikan pergerakan saya dilihat ramai," katanya.
Menurutnya, tiada amalan rahsia sebaliknya meletakkan pergantungan penuh kepada Allah SWT.
"Asas penting adalah perlu ada ilmu ikhtiar hidup berikutan kebanyakan lokasi dituju adalah kawasan terbiar dan sudah menjadi belukar.
"Dalaman jiwa kena kuat contohnya bekalan amalan seperti bacaan potongan ayat al-Quran. Perlu lakukan kaji selidik berdasarkan perkongsian atau maklumat dikongsi orang juga adalah adab apabila memasuki kawasan orang," katanya.
Kata Hanizamal, biasanya entiti akan memberikan isyarat tertentu menunjukkan kewujudannya di kawasan tertentu.
Meskipun berdepan pelbagai gangguan sepanjang menghasilkan kandungan, dia tidak serik.
"Saya dalam perancangan ingin membongkar rahsia Segi Tiga Bermuda dan akan berada di sana selama tiga hari secara solo.
"Saya anggarkan kos untuk merealisasikan misi ini memerlukan RM300,000. Kos meliputi sewa kapal atau bot, penerbangan dan permit skuba dan sebagainya.
"Walaupun ia kerja gila, pada saya itu antara impian ingin dicapai dan tidak semua orang ada keberanian sebegitu.
"Setidak-tidaknya apabila saya dapat rakam video kawasan itu, orang Malaysia juga berpeluang mengetahui kisah di sebalik rahsia Tiga Segi Bermuda itu," katanya.
Kredit: Berita Harian
0 Comments