Kuala Lumpur: Pelakon, Rozita Che Wan, 51, menuntut
permohonan maaf daripada beberapa individu yang juga pemilik akaun media sosial
yang didakwa menghina penampilan anaknya, Aaishah Dhia Rana.
Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta berkata, dia juga sudah
membuat laporan di Balai Polis Kota Damansara dan Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap beberapa individu terbabit dengan ditemani
peguamnya, semalam.
"Saya akan ambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak di
mana ia satu kesalahan di bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia dan
boleh dikenakan tindakan saman fitnah juga. Surat saman terhadap mereka akan
menyusul selepas ini.
" Walaupun ada yang sudah menyahaktifkan akaun, ia tidak
menjadi masalah kerana pihak polis dan SKMM akan memberi kerjasama sepenuhnya
kepada saya untuk mengesan pemilik akaun terbabit," katanya.
Mengenai kes itu, Rozita berkata, dia mengambil tindakan dari
segi undang-undang untuk mendidik pengguna media sosial supaya lebih berhemah.
"Pengguna media sosial perlu berfikir dulu sebelum
menulis komen atau buat kandungan di akaun mereka.
"Jangan ingat kalau guna 'private account' atau akaun
palsu, pihak berkuasa tak dapat cari siapa pemilik sebenar akaun terbabit? Saya
akan cari mereka sampai ke lubang cacing," katanya.
Che Ta berkata, pengguna akaun media sosial juga perlu lebih
bijak dan tidak sewenang-wenangnya untuk memberi komen kerana bukan semua benda
boleh menjadi gurauan.
"Isu ini membabitkan kanak-kanak dan maruah kaum wanita
dan pengguna media sosial juga perlu menggunakan akal fikiran sebelum
meninggalkan komen.
"Sebagai ibu, saya mahu melindungi anak saya kerana
gurauan seksual terhadap kanak-kanak bukan perkara main-main," katanya.
Che Ta berkata, pihak polis akan bekerjasama dengan peguamnya
untuk mencari mereka yang memberi komen termasuk pengguna akaun TikTok yang
memuat naik gambar dia bersama Aaisyah hingga mengundang lebih 2,200 komen di
hantaran berkenaan.
Terdahulu, Che Ta meluahkan kemarahan kepada pemilik akaun
TikTok yang didakwa menghina Aaisyah dengan menyamakannya seperti 'pelacur'
hanya kerana penampilannya.
Individu terbabit juga mendakwa Aaisyah tidak layak untuk
menerima hantaran tinggi dan terus-terusan melemparkan hinaan tanpa sebarang
sebab.
Kredit: Harian Metro
0 Comments