Kuala Lumpur: Pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid kini perlu mencari tempat tinggal baharu memandangkan pemilik rumah yang disewanya bersama keluarga ingin menjual rumah itu.
Dharma, 68, yang menetap di Wangsa Maju berkata, dia bagaimanapun tidak mahu mengharapkan perumahan bantuan kerajaan kerana masih mampu berusaha.
"Tuan rumah saya kata, dia nak jual rumahnya. Jadi, saya kena cari rumah lain. Mungkin dalam sebulan atau dua bulan lagi. Tak kisahlah, kami akan cari.
"Saya tak ada sampai ke peringkat itu (rumah bantuan kerajaan). Sebab saya sekarang bukan sahaja pelakon, tapi juga penerbit. Jadi, saya dah ada kenalan-kenalan dan ada buat program," katanya.
Ditanya mengenai situasi kehidupan dan kewangannya, Dharma berkata, dia melalui fasa kesusahan, namun itu hanya seketika dan sedang berusaha memperbaikinya.
"Macam mana pun saya tetap akan berusaha mencari wang untuk terus hidup. Nak bergantung (kepada bantuan kerajaan) tidaklah.
"Susah tetap ada, tapi seketika. Tapi, saya sedang perbaiki," katanya.
Sebelum ini, Dharma iaitu bintang filem Adik Manja itu yang diasak kesukaran hidup bersama keluarganya sehingga gagal membayar sewa rumah yang tertunggak.
Namun, jalannya dipermudahkan apabila berita itu tular sekali gus mendapat perhatian daripada beberapa organisasi seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Pusat Zakat dan Yayasan Budi.
Kredit: Harian Metro
0 Comments