Hikayat lelaki miang dan perempuan penyondol dari zaman ke zaman

Hikayat lelaki miang dan perempuan penyondol dari zaman ke zaman

 


CINTA dan khianat ialah kisah yang subur sepanjang zaman. Tema cinta tidak pernah gagal menarik perhatian manusia dan ia diabadikan dalam banyak karya seni. Begitu juga pengkhianatan.

 

Dari cinta juga wujudnya khianat. Pengkhianatan terhadap cinta dipanggil curang. Ini satu lagi perkataan yang mudah menarik minat ramai.


Kisah curang sangat laku dalam media-media. Seperti pusaran semut (ant mill), orang ramai hilang pedoman menghurung kisah-kisah curang. Teori dilempar dan disambut, segala hal luar dan dalam kain dikorek.

 

Dalam artikel ini,  cinta dan khianat sentiasa wujud sepanjang zaman. Melalui kisah-kisah yang disusun ini, kita cari teladan dan sempadan.

 

Kisah-kisah ini mengajar kita untuk berhati-hati memilih pasangan dan teliti membina diri sebagai pasangan yang setia. Bisik syaitan yang menggelegak nafsu itu selalu ada, cuma tinggal kita yang perlu menepisnya.

 

Pengkhianatan dalam kisah klasik


Dalam kisah klasik Melayu, apa yang terjadi kepada Tun Teja Ratna Benggala dalam Hikayat Hang Tuah boleh dikaitkan dengan kisah pengkhianatan dan kecurangan.

 

Kisah ini, jika dilihat dengan kanta dunia moden, sangat-sangat bermasalah. Tun Teja diguna-guna oleh Hang Tuah untuk jatuh cinta kepadanya kemudian diguna-guna sekali lagi untuk membencinya supaya boleh dipersembah kepada Sultan. Semua ini berlaku ketika Tun Teja menjadi tunangan Sultan Pahang.


Begitu juga dalam kisah legenda Mahsuri: seorang wanita suci yang menjadi mangsa fitnah selepas tidak melayan rayuan lelaki penyondol, Deraman.


ADUKA (kanan) mengkhianati Taruna apabila terlanjur dengan Dara.


Kisah curang dalam filem Semerah Padi (1956) pula agak rumit. Aduka (lakonan P. Ramlee) terperangkap dengan pujuk rayu Dara (Saadiah) lalu menarik mereka ke lembah maksiat. Namun, ia tetap pengkhianatan besar terhadap Taruna (Nordin Ahmad).

 

Tak susah nak cari lelaki miang

 

Kumpul seratus lelaki dalam satu dewan dan baling kasut anda secara rambang. Kemungkinan besar, kasut itu akan mendarat di kepala lelaki miang. Begitulah mudahnya kita mahu cari lelaki miang.

 

Perempuan tak ada yang miangkah? Ada saja, cuma mungkin kisahnya tidak diheboh-hebohkan dan dikisahkan dalam karya legenda.


Kajian oleh General Social Survey (GSS) mendapati lelaki lebih banyak curang berbanding wanita. Data yang dikumpulkan oleh Institut Kajian Kekeluargaan (IFS) pada 2018 menunjukkan 20 peratus lelaki mengaku mengadakan hubungan seks dengan pasangan lain semasa berkahwin di Amerika Syarikat (AS), berbanding 13 peratus wanita.

 

Namun, menurut Agensi Penyiasatan Smith, semakin banyak kes kecurangan berlaku dalam kalangan wanita dalam tempoh 20 tahun ini.

 

Dua kepala dalam ketuhar

 

Ted Hughes dan Sylvia Plath pada 1956. – GAMBAR/WRITER PICTURES

Kisah kecurangan yang ikonik boleh dikaitkan dengan satu nama: Ted Hughes. Di sebalik pesona bijak dan puitis, Ted bertanggungjawab meletakkan dua kepala wanita dalam ketuhar (walaupun bukan secara langsung).

 

Kisah Ted boleh mengesahkan kata-kata “once a cheater, always a cheater”.

 

Ted merupakan penyajak popular British pada dekad 50-an dan diiktiraf antara penyajak terhebat Inggeris sepanjang zaman. Dia berkahwin dengan seorang lagi penyajak berpotensi besar, Sylvia Plath pada 1956.

 

Sylvia jatuh hati pada tulisannya, kemudian perwatakannya. Dia menyifatkan Ted seperti “penyanyi, penglipur lara, singa dan pengembara dunia” dengan suara seperti “hentaman guruh dari Tuhan”.

 

Namun, yang indah pun boleh jadi hodoh. Dalam beberapa kejadian, Sylvia mengadu dipukul Ted, termasuk beberapa hari sebelum anaknya gugur. Kemurungan yang dihadapinya bertahun-tahun semakin parah apabila Ted berlaku curang.

 

Ted jatuh hati kepada Assia Wevill, penyewa pangsapuri mereka di London yang ketika itu merupakan isteri orang. Segala tekanan yang menghempap Sylvia, termasuk kelaku curang suaminya, membuatkan penyajak muda itu nekad mengambil nyawanya dengan meletakkan kepalanya dalam ketuhar. Dia mati kerana keracunan gas karbon monoksida.


Assia juga curang dengan suaminya, David sehingga lelaki itu sendiri cuba untuk membunuh diri dengan menelan pil tidur berlebihan.

 

Assia selepas itu tinggal bersama Ted dan anak-anaknya. Mereka tinggal bersama, malah mempunyai anak bersama ketika perkahwinan Assia dengan David belum terlerai. Walau bagaimanapun, Assia mula merasakan keperitan hidup yang menghantui Sylvia selama ini.


Ted melayannya seperti bibik. Lelaki itu juga ganas di bilik tidur. Assia pernah bercerita pada rakannya: ketika bersama, bau badan Ted seperti tukang daging.

 

Cuba teka apa yang Ted buat selepas itu?

 

Ya, curang lagi. Kini giliran Assia merasa peritnya hidup dicurangi.

 

Cuba teka pula, apa yang Assia buat?

 

Ya, dia mencabut nyawanya sendiri dan anaknya. Dengan cara yang sama seperti Sylvia, meletakkan kepala dalam ketuhar.

 

Belajar dari kisah curang

 


Baru-baru ini pelbagai kes curang yang melibatkan selebriti telah menjadi berita panas dibibir netizen. Membaca dan menonton drama curang selebriti bukan sekadar untuk bersuka-suka. Ia bukan hiburan. Kita wajib mengambil pengajaran daripada kisah-kisah itu.

 

Pada 2021, terdapat 43,934 kes cerai berlaku di Malaysia. Ia bersamaan kira-kira 118 kes cerai sehari. Sama dengan kira-kira lima kes cerai setiap jam.

 

Perceraian tidak semestinya buruk. Ia menjadi jalan keluar untuk perkahwinan yang bermasalah dan jika segalanya aman, ia memberikan kehidupan yang lebih baik buat individu yang terlibat. Sebab itu cerai tidak haram.

 

Namun, perceraian yang berlaku akibat kecurangan dan pengkhianatan sering membawa kesan yang buruk, termasuk kepada anak-anak jika terlibat.

 

Institusi keluarga ialah teras sebuah masyarakat. Disebabkan institusi keluarga yang berkecamuk, anggota masyarakat boleh jadi lemah.

 

Maka, segala kisah curang yang dicatat sejak turunnya manusia di muka bumi sehingga sekarang perlu dijadikan pengajaran buat kita yang telah, sedang dan akan berumah tangga.

 

Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Hikayat lelaki miang dan perempuan penyondol jangan dijadikan pemuas nafsu membawang semata-mata, ambil ia sebagai pengajaran.

 

Kredit: Relevan






Post a Comment

0 Comments