KUALA SELANGOR – Perbuatan
tidak berperikemanusian seorang ibu tunggal dan teman lelaki mendera anak
kandung perempuannya sejak bulan lalu menerima pembalasan apabila dipenjara
selama 24 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu selepas kedua-dua tertuduh iaitu Nor Arzilla Ardi, 32, dan Mohamad Amir Rosdi, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan bersama dibacakan jurubahasa mahkamah.
Pasangan tersebut turut dikenakan bon berkelakukan baik
dengan seorang penjamin dan melakukan khidmat masyarakat selama dua tahun
selepas hukuman berjalan.
Jika gagal mematuhi syarat bon itu, hukuman denda tidak
lebih RM10,000 akan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh.
Sepanjang prosiding itu, mereka yang berpakaian lokap
jingga dan ungu itu hanya kelihatan sugul dan turut mengakui semua fakta kes
dikemukakan pendakwaan.
Nurul Mardhiah dalam penghakimannya berkata, kesalahan
tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Justeru, kedua-kedua kamu (tertuduh) dijatuhi hukuman
penjara 24 bulan bermula daripada tarikh tangkapan sebelum ini.
“Mahkamah turut memerintahkan kamu supaya menyempurnakan
bon berlakuan baik selama dua tahun,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan dipercayai diseksa dengan cara dicubit, ditumbuk dan disiram dengan air panas oleh ibu kandungnya dan kekasih wanita itu.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments