Seoul: Korea Utara menghukum mati beberapa pegawai kerajaan
selepas banjir besar pada akhir Julai lalu mengorbankan beribu-ribu orang di
wilayah utara negara itu, menurut Bloomberg yang memetik laporan TV Chosun.
Kira-kira 20 hingga 30 pegawai kerajaan wilayah di kawasan yang
dilanda banjir ditembak bulan lalu, kata TV Chosun, memetik seorang pegawai
kerajaan Korea Selatan yang tidak dikenali.
Banjir dahsyat itu mungkin mengorbankan sehingga beberapa ribu
orang di kawasan yang paling terjejas di wilayah Jagang, lapor stesen
televisyen berkenaan.
Perkhidmatan Perisikan Kebangsaan Korea Selatan memantau dengan
teliti keadaan selepas mendapat maklumat mengenai perkembangan itu, kata
jurucakap agensi perisik itu melalui telefon, tanpa memberikan butiran lanjut.
Kementerian Penyatuan Korea Selatan yang mengendalikan hubungan
dengan Korea Utara enggan mengulas.
Kim Jong-un pada mesyuarat tergempar parti pada akhir Julai
berkata, beliau akan menghukum dengan tegas mereka yang "sangat
mengabaikan" tugas mereka dan oleh itu bertanggungjawab ke atas mangsa.
Hujan lebat di Korea Utara memusnahkan kira-kira 4,100 rumah,
menghanyutkan jalan raya dan rangkaian kereta api dan memusnahkan kira-kira
3,000 hektar tanah ladang di bandar Sinuiju, sebuah hab perdagangan yang
dihubungkan dengan China melalui jambatan, dan daerah berdekatan Uiju, menurut
Media negara Korea Utara.
Kira-kira 5,000 orang diselamatkan, kata Agensi Berita Pusat
Korea.
Menurut TV Chosun, kerosakan lebih meluas dilaporkan ke utara di
wilayah Jagang, yang bersempadan dengan China dan 'rumah' kepada hulu dan
tengah Sungai Yalu, yang dikenali sebagai Sungai Amnok di Korea.
Beberapa mayat ditemukan semasa kerja pembersihan tanah selepas
paras air surut, lapor media Korea Selatan.
Kredit: Harian Metro
0 Comments