Seoul: Seorang lelaki Korea Selatan ditahan selepas mengaku
membunuh teman wanitanya, 16 tahun lalu, dan mengebumikan mayatnya di bawah
lapisan simen di balkoni rumahnya.
Polis Wilayah Gyeongnam dan Balai Polis Geoje berkata, lelaki
itu yang kini berusia 50-an, didakwa membunuh wanita itu pada Oktober 2008
ketika pertengkaran.
Wanita itu maut selepas dipukul menggunakan objek tumpul dan
lelaki itu kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam beg besar, kata polis.
Suspek kemudian menyembunyikan mayat itu di balkoninya dengan
menyusun batu bata dan menuang pada lapisan simen setebal 10 sentimeter (sm).
Wanita itu tidak dilaporkan hilang sehingga tiga tahun kemudian, kerana dia tidak berhubung dengan keluarganya sendiri.
Semasa siasatan orang hilang pada 2011, lelaki itu
memberitahu polis bahawa mereka sudah berpisah dan kes itu masih tidak dapat
diselesaikan kerana kekurangan bukti.
Seorang pegawai polis memberitahu pemberita bahawa mayat itu
tidak ditemukan lebih awal kerana ia ditanam di ruang kecil pada balkoni, dan
bilik itu kosong sejak 2016.
Pada tahun itu juga, suspek ditangkap kerana menggunakan
dadah, dan tuan rumah berkata, unit kediaman itu digunakan untuk ruang
simpanan.
Mayat itu hanya ditemukan pada bulan lalu selepas seorang
pekerja yang mencari kebocoran paip air menemukan beg itu.
"Mayat itu belum reput sepenuhnya hingga menjadi tulang,
membolehkan kami mengenal pasti dia menggunakan cap jari," kata polis.
Lelaki itu dibawa untuk disoal siasat dan akhirnya mengaku
melakukan pembunuhan itu.
Seorang pegawai polis dari Polis Wilayah Gyeongnam
memberitahu AFP siasatan dan soal siasat hampir tamat dan lelaki itu akan
diserahkan ke pendakwaan tidak lama lagi.
Kredit: Harian Metro
0 Comments