KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengesahkan sudah
rujuk semula dengan bekas suami, Dr Rushdi Ramli selepas sebulan mengumumkan
perceraian menerusi video dalam Instagram (IG).
Nora berkongsi berita gembira itu, sebentar tadi. Menerusi mesej itu, Nora meluahkan rasa syukur kerana kemelut yang melanda rumah tangga sudah berakhir.
Bagaimanapun, Nora tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai proses rujuk termasuk tarikh.
"Alhamdulillah dengan kuasa Allah SWT, suami sudah
kembali rujuk. Manusia hanya merancang, namun Tuhan yang menentukan.
"Ia tidak lama selepas peristiwa berlaku. Saya beritahu
bagi mengelakkan fitnah berhubung soal tempoh edah," katanya yang kini
berada di Kemboja.
Sementara itu, Nora turut meminta semua pihak mendoakan yang
baik-baik dan menjadikan iktibar atas apa yang berlaku.
"Semoga perkara yang sama tidak berulang," ungkap
penyanyi Renungan Terakhir ini.
Sebelum ini, ketika majlis sidang media Konsert Hanya Satu
Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey di BsyncLive Hall, baru-baru ini, pemilik
nama lengkap Wan Norafizah Wan Ariffin itu menyerahkan kepada takdir mengenai
kemungkinan rujuk semula dengan bekas suami.
Pada 12 Ogos lalu, Nora memuat naik video bekas suaminya
menceraikannya dengan talak satu dalam video berdurasi 52 saat dalam IG.
Bagaimanapun, Nora berkata, perceraian berlaku sebelum tarikh
video itu dimuat naik.
Selepas video tular, Nora menerima kecaman ramai dan
mempertahankan bekas suami serta memaklumkan perkara itu bukanlah atas
kehendaknya.
Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, malah Rushdi
adalah sahabat baik Allahyarham Johan.
Johan yang juga komposer tersohor meninggal dunia pada 24 Mac
2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.
Kredit: Berita Harian
0 Comments