Sungai Petani: "Sejurus kemalangan berlaku, saya dapati anak bongsu, isteri dan emak 'hilang' dan saya cuba mencari mereka dalam kereta tetapi tiada.
"Ketika itu hanya anak sulung, Luth Mikhael, 3, berada di bahagian belakang kereta. Tidak lama kemudian, ada penduduk kampung datang membawa anak, Lufiya Mikhayla, 2, sambil memberitahu isteri dan emak tercampak keluar dari kereta," kata Mohd Fadzil Othman, 27.
Menurutnya, dia kemudian bergegas mendapatkan isterinya, Siti Norhasliza Kamarudin, 26, yang tercampak beberapa meter dari kereta yang ketika itu dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.
Katanya, dia juga sempat mengajar isterinya mengucap dua kalimah syahadah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhirnya.
"Saya kemudian mendapatkan emak, Omi Kalsom Man, 69, yang ketika itu dalam keadaan sama, sangat nazak sebelum meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Haji Ngah, Bedong, di sini, hari ini.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku selepas mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang dari berkelah di Sungai Sedim sempena cuti umum Hari Kebangsaan, semalam.
Katanya, dia tidak merancang untuk bercuti di kawasan perkelahan itu dan isterinya turut mengajak dia pergi ke situ untuk membawa anak-anak serta ibunya.
"Kakak saya dan rakannya membawa keluarga ke sana dan sempat menikmati makan tengah hari bersama, isteri serta anak-anak kelihatan seronok sebelum kami pulang jam 4 petang," katanya.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian seekor binatang dipercayai kera melintas secara tiba-tiba menyebabkan dia cuba mengelak.
Katanya, dia memusingkan stereng kereta menyebabkan Toyota Vios dipandunya terbabas ke laluan bertentangan sebelum masuk ke dalam semak.
"Tak banyak perubahan yang berlaku pada emak dan isteri sebelum ini malah kami sempat berbual dalam kereta sebelum kemalangan berlaku dan sekelip mata saya kehilangan mereka.
"Saya hanya sakit di bahagian bahu kanan manakala Luth Mikhael tidak cedera dan Lufiya Mikhayla pula masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar akibat parah di kepala," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, dua beranak maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabit dalam dalam kemalangan dipercayai cuba mengelak kera melintas di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau- Kuala Ketil, semalam.
Dalam kejadian jam 6.12 petang itu, mangsa Siti Norhasliza Kamarudin dan ibu mentuanya, Omi Kalsom Man, 69, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kredit: Harian Metro
0 Comments