KLANG - Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias atau lebih dikenali
sebagai PU Azman dihukum
penjara 24 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas
dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki
ketika kejadian berusia 17 tahun, pada dua tahun lalu.
Baca juga: Majlis pengebumian kecoh wanita lempang jenazah suami, isteri kedua tiba-tiba muncul tuntut faraid
Hakim, Noridah Adam memutuskan demikian selepas
mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes
pembelaan.
Ketika membaca keputusan, beliau berkata, keputusan itu
dibuat setelah meneliti keterangan semua saksi pendakwaan dan
pembelaan.
Menurutnya, mahkamah juga mendapati pendakwaan berjaya
membuktikan kesnya terhadap Azman.
"Tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kedua-dua
pertuduhan berkenaan.
"Susulan itu, bagi pertuduhan pertama, tertuduh
dihukum penjara 12 tahun dan satu sebatan bermula jatuh hukum sementara
pertuduhan kedua 12 tahun penjara dan satu sebatan selepas selesai menjalani
hukuman pertama," katanya.
Pada 26 Disember 2023, Azman diperintah membela
diri selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes
prima facie terhadap pertuduhan itu.
Berdasarkan dua pertuduhan, dia didakwa melakukan amang
seksual fizikal terhadap seorang remaja itu di sebuah inap desa di Kampung
Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20
Februari serta 29 Jun 2022.
Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta
Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan
hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit
kesalahan.
Azman yang turut dikenali sebagai Cik Man turut
berdepan sembilan pertuduhan iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban,
dua kes di Mahkamah Shah Alam dan masing-masing satu kes di Mahkamah Majistret
Klang dan Mahkamah Sesyen Ampang.
Kredit: Sinar
0 Comments