"Remuk hati tengok CCTV, pengasuh bedung anak, sumbat botol susu, tekup dengan bantal hingga mati" - Bapa

"Remuk hati tengok CCTV, pengasuh bedung anak, sumbat botol susu, tekup dengan bantal hingga mati" - Bapa



ALOR GAJAH: "Pengasuh bedung anak saya, dia sumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup muka dengan bantal.

 

Demikian dakwa Mohd Fikry Amri Abd Halim, bapa kepada bayi lelaki berusia lapan bulan yang ditemui tidak sedarkan diri di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di Kelemak, di sini, hari ini.

 

Apa yang dilakukan pengasuh itu terhadap anak tunggalnya itu, katanya memang tidak boleh diterimanya sebagai seorang bapa.

 

Mengulas lanjut, dia mengakui boleh menerima sekiranya kematian anaknya disebabkan tersedak susu kerana kejadian seperti itu berlaku di luar jangkaan.

 

"Memang saya terkejut (apabila diberitahu)... namun, apabila melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) saya memang tidak percaya.

 

"Saya sendiri tengok dengan polis. Berdasarkan rakaman kejadian berlaku dalam sekitar jam 8 pagi," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, di sini malam ini.

 

Tambahnya lagi, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya jam 9 pagi sebaik menerima panggilan telefon yang memaklumkan keadaan bayinya sudah biru, selain mulut turut keluar darah.

 

"Sebaik tiba di TASKA, isteri mendapati anak kami sudah tidak sedarkan diri dan muka sudah bertukar biru selain mulutnya juga berdarah.

 

"Isteri kemudian terus bergegas membawa anak ke Hospital Alor Gajah meskipun pihak TASKA meminta dibawa ke klinik kesihatan. Bagaimanapun sebaik tiba di hospital bayi kami disahkan sudah tiada," katanya.

 

Mohd Fikry Amri yang bertugas di Kem Perdana, Sungai Besi memaklumkan, anaknya itu baru lima hari dihantar ke TASKA berkenaan memandangkan isterinya akan mula bekerja tidak lama lagi selepas kira-kira setahun cuti tanpa gaji.

 

"Kami menanti 13 tahun untuk dikurniakan anak dan selepas lima hari dihantar ke TASKA, tidak sangka pula hal ini berlaku.


"Saya harap benda ini dapat diambil tindakan supaya tidak berlaku pada anak-anak lain," katanya.

 

Kredit: Berita Harian




Post a Comment

0 Comments