Rata-rata pengguna media sosial berpendapat topik bangsa
pekerja Khairul Aming tersebut tidak perlu dibangkitkan memandangkan majoriti
penduduk di Kelantan adalah berbangsa Melayu.
Khairul Aming sememangnya satu ikon di Malaysia yang menjadi
buah mulut orang ramai, lebih-lebih lagi setelah Perdana Menteri New Zealand
sendiri bertemu dengannya.
Dari kejayaannya menghasilkan produk tempatan dan menyediakan
banyak peluang pekerjaan untuk penduduk di Kelantan, hinggalah menghasilkan
video di New Zealand, sosok itu sememangnya menjadi idola untuk orang ramai.
Malah, ketika sambutan Keretapi Sarong 2024, dia telah
dijemput untuk membuat kemunculan istimewa dan mengetuai bacaan ikrar Rukun
Negara.
Khairul Aming Hasilkan ‘Short Video’ Tentang Perpaduan Di
Malaysia
Menitik air mata bila edit video ni. Jangan biarkan sesiapa pecahkan perpaduan negara kita. Sama-sama kita pelihara, jaga dan bangga dengan tanah air kita. Selamat Hari Malaysia, negaraku yang tercinta 🇲🇾 pic.twitter.com/l9T3NRnzBa
— Khairulaming (@khairulaming) September 14, 2024
Baru-baru ini, Khairul Aming telah memuat naik satu video di
akaun X miliknya yang menyaksikan sambutan sekitar sambutan Keretapi Sarong
2024 pada Sabtu (14 September) lalu sempena Hari Malaysia.
Dia berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan
budaya, agama dan bangsa, serta sukar mencari negara yang unik seperti tanah
air ini.
“Dalam dunia yang terus berubah ini, kitalah yang kena
bersama-sama pertahankan keharmonian negara ini,” katanya.
Menerusi video tersebut, dapat dilihat masyarakat pelbagai
etnik berkumpul demi menyambut Hari Malaysia beramai-ramai.
Individu Persoalkan Semua Pekerja Khairul Aming Berbangsa
Melayu
Namun di sebalik video positif itu, ada pula individu yang
mempersoalkan Khairul Aming kerana bercakap tentang perpaduan tetapi hanya
mempunyai pekerja berbangsa Melayu sahaja.
Hantarannya kemudian tular sehingga menerima pelbagai reaksi
berbeza daripada masyarakat dengan ada yang menyifatkan perkara itu sebagai
suatu isu yang tidak perlu dibangkitkan dan ada pula sebaliknya.
Ramai orang berkata tidak pelik jika kesemua pekerja yang
digaji oleh Khairul Aming bagi syarikatnya ialah berbangsa Melayu. Ini kerana
kilangnya terletak di negeri Kelantan yang diduduki rata-rata oleh penduduk
Melayu.
Ada juga yang mempersoalkan adakah Khairul Aming meletakkan
syarat-syarat seperti ‘Malay speaker only’ dan hanya memilih kaum Melayu
daripada kesemua calon pekerja sehingga dia sanggup mengkritik influencer
tersebut.
“Bangkitkan isu ini balik lepas awak dapatkan kisah benar
bagaimana dia menolak permohonan dari bukan Melayu,” kata seorang pengguna X.
“He Seems Like A Good Guy, But What You Said Is True” –
Pengguna X
Dalam masa sama, terdapat juga segelintir kecil yang
merasakan ia perkara yang penting untuk dibangkitkan.
“Jika Khairul Aming pun tak boleh mengakui sifat berat
sebelahnya, anda semua boleh berhenti bercakap tentang kepelbagaian,” kata
salah seorang daripada mereka.
Ada juga yang berpendapat bahawa kebiasaannya tiada kaum lain
yang ingin memohon kerja dengan syarikat Melayu.
Seorang individu dipercayai pemilik sebuah syarikat juga
berkongsi bahawa dia gagal mendapatkan pekerja selain daripada Melayu untuk
digajikan walaupun telah mencuba sedaya upaya.
“Boleh Jadi Sukar Jika Bukan Muslim Kendalikan Produk
Makanan” – Pengguna X
Di samping itu, terdapat individu yang merasakan tidak sesuai
bagi etnik tertentu untuk bekerja di kilang milik Khairul Aming memandangkan
mereka menghasilkan produk menggunakan daging lembu.
Malah ada juga yang berkata perkara boleh menjadi lebih sukar
jika dia menggajikan individu bukan Muslim bagi mengendalikan produk makanan
yang dijual.
Lebih 95% Penduduk Di Kelantan Ialah Melayu
Merujuk kepada laporan Anggaran Penduduk Semasa Malaysia 2023
oleh Jabatan Perangkaan (DOSM), 96.7% penduduk di Kelantan setakat awal 2023
adalah Bumiputera. Daripada jumlah ini 95.5% ialah kaum Melayu, manakala 1.2%
lagi lain-lain Bumiputera.
Sebaliknya, hanya 2.4% penduduk berbangsa Cina di Kelantan,
diikuti dengan 0.3% India dan 0.6% lain-lain kumpulan etnik.
Memandangkan majoriti penduduk di Kelantan adalah kaum Melayu
dan kilang Khairul Aming dibuka di negeri itu, maka tidak pelik jika kesemua
pekerjanya ialah Melayu.
Carian kami walau bagaimanapun tidak menemukan sebarang iklan
kekosongan kerja daripada pihak Khairul Aming untuk mengesahkan sama ada
syarikat tersebut hanya mencari pekerja Melayu atau Islam.
Kredit: The Rakyat Post
0 Comments