KUALA SELANGOR: Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof tidak
mahu mengulas lanjut berhubung perceraiannya dengan bekas isteri, Ira Kazar
yang jatuh talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, di sini, hari
ini.
Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40,
hanya menzahirkan rasa syukur dan meminta orang ramai menghormati pilihannya.
"Saya tiada komen. Alhamdulillah, semuanya selesai.
Tiada sebab nak kongsi.
"Saya tak mahu kongsi," katanya ringkas ketika
ditemui selepas keluar dari dewan bicara selepas selesainya prosiding
pengesahan lafaz cerai taklik berkenaan.
Pengarah filem Munafik itu berterima kasih kepada mana-mana
individu yang banyak memberikan kata-kata semangat.
"Saya banyak terima mesej menerusi WhatsApp dan dalam
media sosial. Mereka doakan yang baik-baik, terima kasih," katanya.
Ditanya mengenai komen yang pernah dikeluarkan bapanya yang
juga penerbit dan pengarah, Datuk Yusof Haslam yang sentiasa mendoakan terbaik
untuknya, Syamsul mengharapkan orang ramai menghormati urusan keluarganya.
"Alhamdulillah, saya tak kisah tentang yang lain. Itu
urusan keluarga yang sepatutnya diselesaikan antara ahli keluarga.
"Macam saya cakap, apa sahaja isu peribadi, saya pilih
untuk tidak kongsi dengan orang ramai termasuk hal apa pun.
"Kalau ada isu keluarga, kita tak boleh libatkan
sesiapa sahaja, betul tak? Sebab semua ini boleh mengeruhkan keadaan.
"Itu sahaja yang mampu saya cakap. Kita doakan yang
terbaik. Kalau apa sahaja saya cakap, pasti akan jadi tajuk berita,"
katanya.
Pagi tadi, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor
mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul terhadap Ira
ketika masih bergelar suami isteri.
Lafaz cerai taklik ialah lafaz cerai yang dilafaz oleh
suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat
tertentu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu
selepas Ira atau nama sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif
memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu.
Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul
Razak berkata mahkamah mengesahkan berlakunya lafaz taklik, sekali gus jatuh
talak satu.
Kredit: Melodi, Berita Harian
0 Comments