Bangi: Cawangan Khas (SB) Bukit
Aman kini sedang memantau syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) susulan empat
laporan polis yang diterima berkaitan eksploitasi kanak-kanak.
Timbalan Ketua Polis Negara,
Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya kini menjalankan
pemantauan terhadap organisasi itu susulan empat laporan polis dilakukan di
Selangor mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
"Laporan berkenaan
dipercayai berkaitan eksploitasi kanak-kanak untuk memungut dana, derma dan
sebagainya. Mungkin ada lain (laporan) yang sedang dikumpulkan.
"Kalau kita lihat daripada
senarai (ajaran sesat) yang dikeluarkan sama ada oleh Jabatan Kemajuan Islam
Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) ada 154 yang sesat.
"Bagaimanapun yang dipantau
pihak SB ada 114 jadi mungkin ada pertindihan namun 14 dikesan paling aktif
manakala lapan dalam pemantauan. Yang ini (GISB) termasuklah," katanya
pada sidang media sempena Majlis Perbarisan dan Tamat Latihan dan Penyampaian
Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswi Universiti Awam ke -20
Tahun 2024 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, tadi.
Mengulas lanjut, Ayob Khan
berkata, modus operandi syarikat itu dikesan dengan mengeksploitasi melalui
penubuhan rumah amal kebajikan bagi tujuan kutipan derma.
Menurutnya, terdapat maklumat
mengatakan mereka tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain
dikenakan tindakan kuarantin sekiranya ahli melakukan kesalahan kecil.
"Kumpulan ini ahlinya
merangkumi semua orang termasuk golongan profesional. Pengaruh mereka tersebar
luas. Kalau kita tidak kuat, mungkin akan terpengaruh.
"Dari 2022 hingga Ogos lalu,
sebanyak 80 laporan polis membabitkan seramai 122 tangkapan berkaitan ajaran
sesat di seluruh negara," katanya.
Menurutnya, ia satu proses yang
berterusan dan akan terus memantau selain bekerjasama rapat dengan Jabatan
Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi
memastikan ajaran sesat dapat dibanteras secara habis-habisan.
Media kelmarin melaporkan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar
mengesahkan akan ada libat urus dengan wakil syarikat GISB.
Kredit: Harian Metro
0 Comments