Alor Setar: "Mulanya saya nampak benda terapung, rupanya
itu cucu saya yang dipercayai terjatuh ke dalam longkang ketika kawasan ini
dilanda banjir petang semalam.
"Saya turun ke dalam longkang dan mengambil cucu saya naik ke tepi longkang dan cuba memanggil namanya berulang kali tetapi tiada tindak balas malah wajahnya pucat dan bibirnya sudah kebiruan," kata Mohd Hamidan Hashim, 38.
Mohd Hamidan adalah datuk kepada kanak-kanak perempuan, Nur
Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2, yang ditemukan lemas dalam longkang di
kawasan kampung berhampiran rumahnya di Lorong Seri, Jalan Langgar di sini,
malam tadi.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya
berhampiran Stadium Darulaman sebelum dihubungi anak sulungnya yang juga ibu
kanak-kanak terbabit, Siti Nurfarhana Abdullah, 18, yang memaklumkan anaknya
hilang dipercayai terjatuh dalam longkang.
Katanya, ketika kejadian, kawasan kampung itu dinaiki air
disebabkan limpahan air Sungai Kedah selain air pasang besar yang berlaku
kira-kira jam 3 petang semalam.
"Saya terima panggilan daripada anak kira-kira jam 4.30
petang sebelum terus ke lokasi untuk mencarinya di sekeliling kawasan itu
tetapi tidak jumpa kerana air sangat dalam ketika itu.
"Dengan bantuan penduduk kampung, ada yang cuba menyelam
mencarinya tetapi tak jumpa sebelum jasad cucu saya timbul kira-kira jam 8
malam tadi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah
Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
Mohd Hamidan berkata, cucu keduanya itu seorang yang aktif
dan sangat rapat dengannya sehingga memanggilnya dengan panggilan 'Abah'.
Katanya, ketika menerima panggilan telefon anaknya, dia tidak
sedap hati apabila dimaklumkan cucunya hilang.
"Kawasan ini tak pernah banjir pun, tetapi semalam bila
air pasang berlaku dan bertembung dengan limpahan air sungai menyebabkan banjir
kilat berlaku sehingga menenggelamkan longkang ini.
"Namun saya reda dengan pemergian cucu walaupun sehari
sebelum kejadian dia menunjukkan perubahan sikap tidak mahu makan dan
mendiamkan diri," katanya.
Sementara itu, penduduk kampung, Yahmin Sairin, 70, berkata,
dia ternampak orang ramai mengerumuni kawasan itu pada jam 6 petang sebelum
dimaklumkan ada kanak-kanak terjatuh.
Katanya, dia cuba menjolok longkang itu dengan kayu untuk
mencari mangsa disebabkan kedalaman longkang itu sedalam kira-kira lebih dua
meter.
"Masa tu arus longkang sangat deras dan saya turun
berenang dalam longkang tetapi tak jumpa sebelum dimaklumkan penemuan mayat
kanak-kanak itu sekitar jam 8 malam.
"Longkang ini saya yang bina kira-kira 12 tahun lalu dan
sebab itulah saya tahu kedalaman longkang ini tetapi tak sangka banjir yang
berlaku semalam agak dalam," katanya.
Ibu kanak-kanak itu, Siti Nurfarhana berkata, ketika kejadian
dia sedang tidur dalam dalam rumah kira-kira 30 meter dari longkang berkenaan.
Katanya, pada mulanya dia menyangka anak bongsu dari dua
beradik itu pergi ke rumah nenek mereka tidak jauh dari lokasi kejadian.
"Anak sulung yang juga abang mangsa berusia tiga tahun
ketika itu ada dalam rumah dan saya tak sedap hati dan terus menghubungi ayah
sebelum keluar mencari anak.
"Tidak lama kemudian, ada orang kampung beritahu anak
saya jatuh longkang yang ketika itu dinaiki air sungai yang melimpah,"
katanya
Jasad kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik
HSB untuk tindakan lanjut dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam
Masjid Al Irfan, Derga, Jalan Langgar, di sini petang ini.
Kredit: Harian Metro
0 Comments