SEREMBAN - Tiga lelaki yang mempunyai kaitan dengan GISB
Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang ditahan dalam Op Global baru-baru ini akan
didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan melakukan amang
seksual terhadap kanak-kanak.
Difahamkan suspek berusia 20 hingga 22 tahun itu merupakan
pekerja di sebuah madrasah di Kuala Pilah.
Sebuah van yang membawa mereka tiba di Kompleks Mahkamah
Seremban kira-kira jam 9.09 pagi.
Kesemua mereka yang memakai kemeja-T lengan panjang kelihatan
tenang ketika gambar dirakam media.
Pertuduhan di Seremban merupakan kes kedua didakwa melibatkan
GISBH selepas seorang lelaki didakwa di mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu
atas kesalahan membabitkan ugutan jenayah.
Ketiga-tiga tertuduh dijangka didakwa atas 14 pertuduhan di
bawah Seksyen 14(a) Akta 792 dan Seksyen 14(b) Akta 792 merujuk kepada
kesalahan amang seksual fizikal atas kanak-kanak.
Minggu lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun.
Kredit: Sinar
0 Comments