KUALA NERANG, KEDAH – Dua beranak dikhuatiri lemas akibat
dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika ibu
tunggal dikenali sebagai Salma Md. Zain, 48, dan anaknya, Ahmad Rosman Rohadi,
19, meredah air untuk pulang ke rumah mereka.
Ahmad Rosman merupakan orang kelainan upaya (OKU) lembam.
Difahamkan, dua beranak itu sebelum itu menaiki motosikal
mengikut jalan jauh sejauh lebih tiga kilometer (km) untuk membeli nasi lemak
kerana jalan utama ke rumah terputus kerana dinaiki air.
Mereka kemudian meletakkan motosikal di rumah seorang
penduduk dan meredah air di laluan mini tar yang ditenggelami air sehingga
paras dada orang dewasa untuk pulang ke rumah.
Laluan mini tar tersebut lebih dekat iaitu kira-kira satu km
ke rumah mereka.
Penduduk, Mohd. Amir Mohd Sougelail, 28, berkata, dia
menyaksikan sendiri kejadian dua beranak itu dihanyutkan arus deras banjir.
“Orang kampung sudah panggil dua beranak itu supaya jangan
redah banjir sebab arus deras tetapi mereka teruskan perjalanan.
“Saya nampak wanita itu berpaut pada pokok getah sebelum
anaknya berpatah balik untuk ambil ibunya sebelum kedua-duanya hanyut,” katanya
di sini hari ini.
Katanya, orang kampung bertindak memanggil mereka dan wanita
itu ada menyahut beberapa kali sebelum senyap.
“Air sangat deras kerana terletak berdekatan Sungai Padang
Terap yang melimpah akibat hujan lebat pada malam tadi,” ujarnya.
Sumber: KOSMO! ONLINE
0 Comments