'Ya, saya memang bekas banduan, tapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji'

'Ya, saya memang bekas banduan, tapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji'

 


KUALA LUMPUR: "Ya, saya memang bekas banduan, tapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji," tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyelar tindakan pembangkang yang sering mengulangi statusnya sebagai bekas banduan ketika mengkritik pentadbiran beliau.

 

"Dulu kamu, bapak-bapak kamu, pemimpin-pemimpin PAS antara benteng pertama pertahankan kami dan menolak fitnah itu.

 

"Sekarang anak-anak mereka yang jahil tentang sejarah, yang jadi perkakas kepada perasuah, yang menjadi alat kepada pencuri harta, sekarang mau jadi jaguh," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Himpunan Keadilan 'Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani' di Stadium Axiata, Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

 

Anwar berkata pejuang besar seperti bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor; bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat dan mantan Imam Besar Masjid Negara, Kuala Lumpur, Ustaz Datuk Taib Azamudden Mohd Taib yang mempertahankan dirinya.

 

"Kerana apa, kerana mereka tahu hukum, mereka tahu Islam, mereka tahu apa fitnah dan mereka tahu bagaimana sang saka tua zalim serta menindas rakyat.

 


"Itu pendirian pemimpin-pemimpin lalu termasuk pemimpin-pemimpin PAS," katanya.

 

Anwar berkata selama hampir dua tahun memegang tampuk pemerintahan, beliau tidak membenarkan mana-mana tender diambil oleh pemimpin negara.

 

Katanya, perkara itu berbeza dengan pemerintahan pembangkang selama hampir dua tahun.

 

"Sebut apa yang tidak ambil, Bestari Net, Jana Wibawa, kontrak tebatan banjir, sakau…Guna Islam, sakau, guna Melayu sakau," katanya.

 

Sementara itu, laungan 'reformasi' yang lahir di jalanan 26 tahun lalu, bergema sekali lagi dalam suasana penuh kebanggaan dan tenang, seiring laluan perjuangan.

 


Sosok yang menggenggam tangan ke udara 25 tahun lalu, kini berdiri bangga sebagai seorang Perdana Menteri dengan ditemani keluarga dan rakan perjuangan sejati.

 

Aura beliau di pentas utama malam ini kekal tebal dengan semangat perjuangan, cuma kali ini beliau tidak bercakap sebagai Perdana Menteri, sebaliknya sebagai Anwar Ibrahim, pejuang reformasi.

 




Post a Comment

0 Comments