PETALING JAYA - Pihak pembelaan memberitahu Mahkamah Sesyen
di sini pada Rabu bahawa, ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin akan menghantar
representasi supaya pertuduhan mengabai kanak-kanak autisme, yang dikenakan
terhadap mereka, ditarik balik.
Ketika prosiding, peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim
Ikhwan Zahari, 29, dan Ismanira Abdul Manaf, 29, berkata, ia termasuk
permohonan supaya Jabatan Peguam Negara (AGC) menyemak semua kes tersebut.
“Selepas meneliti semua dokumen daripada pihak pendakwaan,
kami akan hantar dokumen berkaitan kepada AGC dalam masa terdekat.
“Susulan itu, saya harap mahkamah menetapkan tarikh lain
untuk keputusan representasi, sebelum perbicaraan kes bermula,” katanya.
Selepas mendengar perkara itu, Hakim, Dr Syahliza Warnoh
menetapkan 6 Disember depan untuk keputusan representasi terbabit.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datin Kalmizah Salleh
berkata, pihak pendakwaan telah menyerahkan tiga salinan dokumen kepada pihak
pembelaan, iaitu laporan syarikat telekomunikasi, forensik telefon bimbit dan
rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Kami juga akan menyerahkan CD (cakera padat) termasuk
dokumen berkaitan kes ini kepada mereka setelah ia dilengkapkan.
“Jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan yang
mana kami akan memanggil seramai 15 saksi untuk memberi keterangan,” katanya
yang turut disertai Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan
Eliza Amira Habib Rahman.
Mahkamah kemudiannya menetapkan perbicaraan kes ini
berlangsung selama 15 hari, bermula tahun depan iaitu 20 hingga 24 Januari, 3
hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari.
Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di
anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada jam 10
malam.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya
sebelum ditemui terbaring di Sungai, kira-kira 200meter dari blok kediamannya.
Pada 13 Jun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak
bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai
pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara
yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara
Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga jam 9.55 malam,
keesokannya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak
2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34
Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau
dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu
juga perlu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama tempoh
dan syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah, serta melaksanakan khidmat
masyarakat.
Kredit: Sinar
0 Comments