PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perniagaan
Peladang (Mada), Abdullah Ismail bertemu dengan Menteri Pertanian dan
Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu tengah hari tadi.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik oleh pengendali
Facebook Mohamad Sabu, kelihatan kedua-dua individu tersebut berjabat tangan
sambil tersenyum lebar, menunjukkan suasana yang mesra dan penuh keakraban.
“Tengahari tadi Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan
Ketua Pegawai Eksekutif Mada Corp, Abdullah Ismail,” tulisnya.
Pertemuan ini adalah untuk menjernihkan situasi yang berlaku
baru-baru ini di mana sebuah hantaran video yang menunjukkan Abdullah enggan
bersalaman dengan Mohamad Sabu ketika lawatan kerja di Kedah tular pada Isnin
lepas.
Orang ramai dengan pantas mengecam tindakan Abdullah yang
dilihat jelas tidak menyambut tangan yang dihulurkan oleh Mohamad Sabu dalam
satu situasi yang tular di media sosial.
Perbuatan tersebut menimbulkan pelbagai reaksi negatif,
dengan ramai pengguna platform media sosial meluahkan rasa tidak puas hati dan
menganggap tindakan itu sebagai kurang sopan serta tidak menghormati sesama
manusia.
Bagaimanapun, Abdullah menjelaskan bahawa dia berada dalam keadaan terkedu melihat Mohamad Sabu sekali lagi menghulurkan tangan kepadanya kerana mereka telah berjabat tangan sebelum itu.
Sementara itu, gambar yang dimuat naik hari ini mencerminkan
hubungan baik yang terjalin antara mereka, diiringi dengan ekspresi wajah yang
menggambarkan keharmonian serta kesepakatan dalam pertemuan tersebut.
Kredit: KOSMO! ONLINE
0 Comments